Pemandu lori ditahan bantu siasatan komen jelik


shadow

Seorang pemandu lori direman empat hari bermula 31 Ogos lepas, bagi membantu siasatan berhubung komen jelik di laman media sosial Facebook, 29 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed dalam kenyataan di Port Dickson malam ini berkata, lelaki berumur 37 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 502(c) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Beliau berkata lelaki berkenaan ditahan pada 30 Ogos lepas pada pukul 6.30 petang di Taman KSM, Jementah, Johor, oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat susulan laporan seorang pengadu lelaki berumur 34 tahun pada 29 Ogos lepas berkaitan komen jelik berkenaan.

“Pengadu merasakan komen tersebut amat tidak sesuai untuk negara yang hidup berbilang kaum, yang mana ia boleh menggugat keharmonian negara,” katanya.

Aidi Sham berkata siasatan awal yang dilakukan, suspek mengaku mengenai komen yang dibuatnya itu disebabkan tidak berpuashati terhadap satu hantaran yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook lain.

Tempoh reman suspek akan berakhir esok.

– Bernama

Tinggalkan komen anda