“SEBELUM pulang, saya singgah di KFC untuk belanjanya makan tetapi dia kelihatan seperti tidak selera selepas hidangan disediakan, apabila ditanya diberitahu dirinya terkenang pada adiknya di rumah yang belum tentu sudah makan,” kata Muhammad Khadir Abd Jalil, 23.
Menurutnya, jawapan kanak-kanak itu menyebabkannya terus pakai cermin mata hitam sebab mahu tahan menangis.
Muhammad Khadir yang menawarkan perkhidmatan percuma ke hospital di sekitar Sandakan diminta oleh rakannya untuk menghantar pulang kanak-kanak berusia 12 tahun, Putri Nurshafika Hailmiansah atau lebih dikenali sebagai Putri sepanjang peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berlangsung.
“Saya sudah beritahu kepadanya yang akan membungkus ayam goreng yang lain buat tiga adiknya.
“Namun, dia tetap makan seketul daripada dua ayam goreng yang dibeli, selebihnya dia kata nak simpan sebab jarang makan sedap-sedap,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menceritakan lanjut, Muhammad Khadir berkata, dia diberitahu oleh rakannya mengenai kisah Putri yang sudah tiga bulan tidak hadir ke sekolah berikutan terpaksa menjaga adiknya di rumah.
“Saya sangat tersentuh dengan kisahnya. Bagi saya pelajaran itu penting, jadi saya setuju untuk bantu Putri.
“Guru Putri akan ambilnya di rumah setiap pagi untuk ke sekolah. Saya pula ditugaskan untuk menghantarnya pulang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Tentera ke rumahnya.
“Sebelum UPSR bermula pada Rabu lalu, saya sempat singgah ke rumahnya yang terletak berdekatan Masjid Pangeran Galpam.
“Kehidupan mereka memang daif dan tinggal di sebuah bilik yang sudah hampir roboh,” katanya.
Menurutnya, kehidupan Putri dan adik-adiknya itu hanya mengharapkan gaji neneknya yang bekerja di sebuah masjid berdekatan.
“Saya difahamkan oleh Putri yang ayahnya sudah lama tinggalkan dia dan adik-adik. Ibunya pula menghilang tanpa berita selepas ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja,” katanya.
Terdahulu, status yang dimuat naik Muhammad Khadir tular mengenai kisah Putri tular di Facebook (FB).
Sementara itu, Muhammad Khadir berkata, dia menawarkan perkhidmatan percuma ke hospital sejak Januari lalu.
“Sebelum ini, saya memang selalu ikut rakan-rakan yang lain membuat kerja amal seperti memberi makanan kepada gelandangan selepas Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Tiada rezeki saya untuk sambung belajar selepas STPM. Jadi saya buat keputusan untuk terus buat kerja-kerja seperti ini.
“Kereta Perodua Kenari itu pun saya beli terpakai melalui duit simpanan serta sumbangan daripada rakan-rakan,” katanya.
-myMetro
Tinggalkan komen anda