Lawatan Muhyiddin ke AS tingkat hubungan keselamatan


shadow

Malaysia berusaha untuk memperkukuhkan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah cabaran keselamatan yang timbul akibat isu seperti keganasan dan kebimbangan mengenai perkara-perkara seperti pemerdagangan orang dan migrasi secara haram apabila Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu dengan para pegawai kanan Amerika Syarikat.

Muhyiddin tiba Ahad di ibu negara Amerika Syarikat ini untuk lawatan kerja sehingga Rabu sebelum terbang ke New York untuk mesyuarat yang sama dengan para pegawai Amerika Syarikat di sana.

Jadual lawatan Muhyiddin untuk Isnin menyaksikan beliau melawat ke ibu pejabat Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat untuk berunding dengan Pemangku Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, Kevin McAleenan, dan melawat ke Pusat Saringan Pengganas Amerika Syarikat (TSC).

Muhyiddin juga akan menghadiri forum kepimpinan di Centre for Strategic and International Studies dan pada forum itu, beliau dijangka berkongsi pandangannya mengenai hubungan strategik Malaysia-Amerika Syarikat.

Program lain Muhyiddin di Washington DC dalam beberapa hari akan datang termasuk bertemu Duta Amerika Syarikat bagi Pemerdagangan Orang John Cotton Richmond serta pegawai kanan dari Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Agensi Perisik Pusat (CIA), Kastam dan Perlindungan Sempadan serta Jabatan Keadilan (DOJ).

“Ini adalah lawatan kerja yang telah diatur untuk saya datang ke Washington dan New York bertujuan merapatkan hubungan dua hala dalam bidang keselamatan antara AS dan Malaysia yang memang terjalin sejak dahulu lagi,” kata beliau kepada Bernama menjelang mesyuarat peringkat tertinggi dan lawatan ke institusi-institusi utama keselamatan Amerika Syarikat.

Muhyiddin menegaskan bahawa Malaysia mempunyai hubungan baik dengan agensi keselamatan yang terkenal dunia seperti FBI dan CIA, dengan menjalin kerjasama merangkumi bidang seperti pertukaran maklumat, latihan dan langkah-langkah membina kapasiti yang lain.

Kerjasama sedemikian perlu memandangkan negara tidak boleh leka dalam isu keganasan ketika ia berusaha untuk memastikan agensi-agensi keselamatannya dilengkapi dengan alat yang diperlukan, lebih-lebih lagi ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan pengganas seperti Daesh.

Kesiapsiagaan Malaysia dan pengumpulan maklumat risikan membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 495 orang dari 2013 hingga Ogos 2019 berhubung penglibatan mereka sebagai anggota, perekrut, pembiaya atau bersimpati dengan Daesh. Mereka yang ditahan terdiri daripada 333 warga Malaysia dan 162 rakyat asing.

Olegh kerana senario keselamatan menimbulkan lebih banyak cabaran pada masa kini, Muhyiddin percaya bahawa Kuala Lumpur masih mempunyai banyak perkara untuk belajar dari Amerika Syarikat dan bagaimana untuk menanganinya. 

“Kita jangka keadaan (keselamatan) yang kita tahu sekarang ini agak lebih mencabar, maka kerjasama dengan AS terutama cara menguruskan masalah berkaitan keganasan, isu pemerdagangan orang atau migran itu boleh kita pelajari termasuk teknologi yang mereka gunakan untuk menangani masalah sebegini,” kata beliau.

Muhyiddin menjelaskan bahawa lawatan ke pusat saringan pengganas membolehkan beliau melihat secara lebih dekat teknologi yang digunapakai untuk mengenal pasti pengganas atau mereka yang mempunyai kecenderungan sedemikian.

“Ini selari dengan langkah yang sedang kita ambil untuk menguruskan sistem imigresen yang terbaharu yang sedang kita siapkan sekarang ini.

Di New York, Muhyiddin dijangka bertemu dengan para pegawai Jabatan Polis New York dalam kunjungan sambil belajar untuk melihat sama ada Malaysia boleh mencontohi beberapa inisiatif yang telah dilaksanakan untuk pencegahan jenayah.

“Pendek kata dalam tempoh beberapa hari saya di Amerika Syarikat ni, kita harap kita boleh memperkukuh hubungan kerjasama dalam bidang keselamatan dan mempelajari perkara baharu serta bertukar pandangan dengan pemimpin mereka,” kata beliau.

Dalam lawatan sehingga 21 Sept, Muhyiddin diiringi oleh isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan para pegawai Kementerian Dalam Negeri, serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

– Bernama

Tinggalkan komen anda