Kerajaan terus pertahan insititusi raja berperlembagaan – PM


shadow

Kerajaan akan sentiasa menghormati dan mempertahankan institusi raja berperlembagaan di negara ini, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam ucapan sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong pagi ini, Mahathir juga berkata kerajaan akan melindungi kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan, dan hak-hak Bumiputera dan kaum-kaum lain seperti termaktub dalam perlembagaan.

“Kerajaan akan sentiasa menghormati dan terus mempertahankan kedaulatan Institusi Raja Berperlembagaan.

“Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, serta keistimewaan orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa dipertahan dan dipelihara.

“Syukur Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurnia Allah jua, negara terus berada dalam keadaan aman dan makmur.

“Selain itu, patik berharap negara akan terus bebas daripada pelbagai bentuk penyelewengan untuk membolehkan Malaysia Baru dapat dibangun dan dimajukan dengan lebih baik berbanding sebelum ini,” kata perdana menteri dalam ucapannya di Istana Negara pagi ini.

Mahathir berkata, kerajaan akan terus mengukuhkan perpaduan antara kaum dan percaya rakyat hari ini lebih matang dalam menghadapi ancaman terhadap keharmonian negara.

“Umumnya rakyat Negara ini percaya bahawa perpaduan yang merentasi batas etnik dan agama adalah penting untuk menjadikan Malaysia baru yang harmoni dan aman damai. Rakyat juga kini semakin matang dalam menghadapi ancaman-ancaman yang mampu memecah belahkan perpaduan.

“Justeru kerajaan tuanku akan terus memperkukuhkan perpaduan dan melaksanakan tanggungjawabnya untuk memastikan keharmonian kaum terus dipelihara,” jelasnya.

Mahathir berkata sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-62 pada 31 Ogos lalu yang bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih menyerlahkan kesepakatan rakyat untuk bersama-sama menjayakan sambutan tersebut.

“Ini merupakan manifestasi rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, kepercayaan dan kaum – boleh duduk bersama berkongsi sesuatu nilai yang dihargai secara harmoni,” katanya.

Tinggalkan komen anda