Kerajaan kemungkinan besar akan menyemak semula sasaran 75 peratus kadar penembusan insurans hayat menjelang 2020 kerana ia masih lagi jauh daripada paras semasa 55 peratus ketika ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata, sekiranya sasaran 75 peratus itu tidak dapat dicapai tahun depan, kerajaan akan membuat penilaian untuk mengkaji masalah tersebut.
“Sasaran ini (75 peratus) bukan ditetapkan oleh kerajaan sekarang. Kita perlu lihat apakah keputusannya tahun depan. Jika ada kekurangan, kita akan lihat apakah lagi yang perlu dilakukan.
“Kita tunggu sehingga 2020 apabila kita dapat melihat keputusannya; sudah pastinya akan ada semakan semula,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Menara Prudential di Tun Razak Exchange, di Kuala Lumpur, hari ini.

Lim berkata harga dan kemampuan untuk mendapatkan polisi insurans adalah alasan utama bagi kadar penembusan insurans hayat yang rendah di Malaysia.
“Menyedari bahawa kadar penembusan sekarang masih jauh di bawah sasaran yang dikehendaki, kerajaan telah memperkenalkan skim insurans mySalam pada Januari tahun ini bagi membantu rakyat, terutamanya kumpulan B40,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan beliau, Lim yang memetik perangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) berkata kurang 41 peratus daripada rakyat Malaysia memiliki sekurang-kurangnya satu polisi insurans hayat individu/kumpulan atau takaful keluarga.
Hampir separuh daripada penduduk negara tidak mempunyai perlindungan insurans kerana kadar penembusan insurans hayat pada 55 peratus itu tidak bergerak selama bertahun-tahun, katanya.
“Justeru itu, kerajaan dan BNM mengambil pelbagai usaha untuk merealisasikan agenda negara bagi kadar penembusan insurans nasional mencecah 75 peratus menjelang 2020,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Prudential Corporation Asia Nic Nicandrou berkata Malaysia adalah rakan perniagaan Prudential paling lama di Asia, dengan Prudential Assurance Malaysia Bhd (PAMB) ditubuhkan pada 1924.
Beliau juga berkata Malaysia merupakan satu daripada pasaran paling penting di rantau ini dengan perniagaan insurans hayat dan kesihatannya menguasai 20 peratus daripada bahagian pasaran di negara ini.
Menara Prudential yang dibangunkan oleh IJM Corporation Bhd itu menempatkan lebih daripada 2,000 kakitangan daripada perniagaan insurans hayat Prudential, PAMB; perniagaan takaful usaha sama, Prudential BSN Takaful Bhd; operasi pengurusan aset, Eastspring Investments Bhd dan Eastspring Al-Wara’ Investment Bhd; hab perkhidmatan perkongsian, Prudential Services Asia, serta cawangan runcit pelanggan.
– Bernama
Tinggalkan komen anda