Kemenangan ubah hidup Riza


shadow

MELALUI pengalaman lewat hadir ke pertandingan nyanyian, namun siapa sangka si cilik, Riza Rofiq berjaya membawa gelaran juara menerusi pertandingan nyanyian Juara Lola Baba 2019 anjuran pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi.

Riza atau nama sebenarnya Ahmad Rizarofiq Rosdie, 11, tidak sangka diberi peluang meneruskan persembahan meskipun datang lewat.

Namun perkara berkenaan sedikit pun tidak mematahkan semangat sebaliknya persembahan menerusi lagu Madah Berhelah berjaya memukau perhatian penonton dan juri.

Berkongsi kenangan manis, anak sulung daripada empat beradik itu tidak menyangka kemenangan berkenaan turut mengubah kehidupannya.

“Saya mula menunjukkan minat suka menyanyi sejak usia empat tahun dan sejak itu ibu dan bapa selalu menyokong serta memberi galakan terhadap apa yang saya minat.

“Apabila ada pertandingan menyanyi mereka sentiasa menyokong dan kemenangan pada pertandingan Juara Lola Baba 2019 satu permulaan untuk saya aktif dalam bidang seni,” katanya.

Riza berkata, jika diikutkan sudah tiga kali dia menyertai pertandingan berkenaan dan buat pertama kalinya menjadi juara.

“Saya bersyukur keluarga tidak putus memberikan sokongan, walaupun sebelum ini pernah menyertai banyak pertandingan nyanyian dan jarang bergelar juara, ia bukan alasan untuk menyerah kalah.

“Saya anggap kemenangan kali ini juga hasil dorongan yang kuat daripada keluarga tercinta,” katanya.

Tampil dengan single bertajuk Janji Setia ciptaan pasangan suami isteri, Syaiful Nizam dan Qashniena, Janji Setia bukan semata-mata kisah cinta, malah ia juga boleh ditujukan kepada orang yang kita sayang.

“Lagu ini bagi saya memberi banyak makna kerana ia boleh ditujukan kepada sesiapa saja yang kita sayang sama ada ibu bapa, kawan atau pasangan.

“Saya selesa dengan genre seperti ini kerana ia kena dengan jiwa yang sukakan lagu pop balada.

“Saya harap lagu ini mendapat sambutan dan diterima ramai,” katanya yang bernaung di bawah pengurusan Snzasia Studio’s.

Dalam pada itu, mengulas mengenai persekolahannya, murid Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 3 ini berkata, dia bersyukur guru sangat menyokong dan banyak membantu.

“Saya masih pergi sekolah seperti biasa dan hanya sibuk pada hujung minggu. Setakat ini perjalanan seni tidak mengganggu waktu pembelajaran saya.

“Rasa sangat bersyukur apabila guru di sekolah juga banyak memberi nasihat dan semangat untuk saya berjaya dalam kedua-dua bidang,” katanya.

  • myMetro

Tinggalkan komen anda