Jual buah sambil mengaji


shadow

KEBIASAANNYA, aktiviti membaca al-Quran dilakukan di masjid, surau atau rumah. Jarang sekali kita melihat orang membaca kitab suci itu ketika menunggu bas atau tren mahupun di dalam kenderaan awam, begitu juga di tempat awam seperti kompleks beli-belah atau di taman rekreasi.

Berbeza bagi Abdul Halim Awang Lah, 66, apabila meluangkan masa membaca al-Quran sambil menjual buah-buahan di jalan utama Kota Bharu-Pasir Puteh berhampiran Peringat, Kota Bharu.

Abdul Halim berkata, sejak lebih 10 tahun lalu menjadikan al-Quran sebagai penemannya sementara menunggu pelanggan datang membeli jualannya.

Katanya, setiap kali membaca al-Quran, jiwanya akan berasa tenang selain kitab suci itu juga menjadi pendamping dalam menjalani kehidupan seharian.

“Sekiranya tidak ramai pelanggan, saya mampu membaca lima hingga 10 juzuk al-Quran sehari.

“Saya bukan nak tunjuk baik tetapi memang aktiviti harian saya adalah meluangkan masa dengan mengaji al-Quran dan kalau tidak melakukannya ia berasa tidak lengkap selain tidak mahu mensia-siakan waktu yang ada.

“Lebih dekat saya dengan al-Quran menjadikan saya lebih tenang dan urusan hidup dipermudahkan. Dalam usia senja begini, apa lagi yang mahu dikejarkan selain amal ibadah untuk bekalan di akhirat nanti,” katanya ketika ditemui di di Kota Bharu, baru-baru ini.

Menurutnya, pada setiap hari dia akan keluar mencari rezeki pada 8 pagi dan akan pulang ke rumah di Peringat, 6.40 petang.

“Walaupun pendapatan yang diperoleh tidak seberapa, namun saya bersyukur kerana dengan hasil jualan inilah, saya mampu menyara keluarga.

“Kita harus sedar bahawa hakikat rezeki yang diterima datangnya daripada Allah dan tidak ada satu bentuk rezeki pun yang tidak termasuk dalam kurniaan-Nya. Dan disebabkan itulah, saya tidak pernah sesekali pun mengeluh jika hasil jualan saya tidak dibeli oleh pelanggan kerana percaya rezeki datang daripada Allah SWT,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda