Indonesia mohon maaf, Syed Saddiq kata kita tetap serumpun


shadow

Menteri Belia dan Sukan Indonesia Imam Nahrawi hari ini memohon maaf secara langsung kepada Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman susulan kekecohan di Stadium Gelora Bung Karno semalam.

“Kehadiran saya untuk menyampaikan langsung permohonan maaf atas nama rakyat Indonesia dan juga pemerintah kepada Menteri Saddiq atas ‘ulah oknum supporter’ (kerenah sebahagian penyokong) yang semalam kita lihat bersama.

“Persahabatan Indonesia-Malaysia tidak boleh renggang karena sepak bola dan tentu kami akan terus menjaga agar kondisi ini tetap baik. 

“Oknum suporter yang telah melakukan pengrusakan tentu harus ditindak oleh aparat kepolisian (pihak polis),” kata Imam seperti dipetik CNNIndonesia.

Dalam insiden semalam, penyokong Indonesia membuat kekecohan tidak lama selepas separuh masa kedua bermula sehingga perlawanan terpaksa dihentikan seketika. Kekecohan sekali lagi tercetus di akhir pertandingan yang kemudiannya melarat di luar stadium.

Penyokong tuan rumah membaling mercun, botol, batu dan objek lain ke arah penyokong Malaysia di stadium sehingga mencederakan tiga penyokong Malaysia, menurut laporan CNN Indonesia.

Ratusan penyokong Malaysia termasuk Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terperangkap di dalam stadium selama kira-kira dua jam.

Semua 24 pemain dan pegawai pasukan negara terpaksa menaiki kira-kira lima kereta perisai barracuda ke hotel penginapan atas faktor keselamatan.

Sementara itu, Syed Saddiq dilaporkan menyerahkan penyiasatan rusuhan yang tercetus semalam kepada pihak berkuasa Indonesia.

“Kami mengucapkan terima kasih atas pendirian yang tegas dari pemerintah Indonesia. Saya juga mendapat penjelasan dari Imam yang akan pastikan menempuh jalur hukum.”

“Kita tetap sahabat serumpun dan kami pastikan silaturahmi akan terus terjaga. Walaupun tindakan tegas akan diambil, tapi kita tetap perlu bersama dalam menyelesaikan masalah ini bersama juga,” kata Syed Saddiq.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda