Hilang RM1,650 dek ‘hutang’ kad kredit


shadow

SISWI alami kerugian RM1,650 selepas menerima panggilan daripada individu yang menyamar kakitangan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Menurut sumber, kejadian berlaku ketika siswi berusia 22 tahun itu berada di kediamannya di Jalan Kuala Bajar, Kuala Berang pada 3 September lalu.

Katanya, siswi berkenaan menerima panggilan pada 10.04 pagi daripada lelaki yang mendakwanya adalah kakitangan mahkamah.

“Lelaki berkenaan memperkenalkan diri sebagai Putra Mikail yang bekerja sebagai pegawai tadbir di mahkamah berkenaan dan dia memaklumkan mangsa didapati gagal hadir perbicaraan membabitkan kes tunggakan kad kredit.

“Lelaki berkenaan mendakwa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit selama enam bulan berjumlah RM10,580.88 dan akan memajukan kes kepada Bank Negara untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa menafikan dakwaan berkenaan kerana tidak pernah memiliki kad kredit dan susulan itu lelaki terbabit menyambung talian kepada individu lain yang mengaku sebagai pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk melaporkan mengenai kejadian,” katanya.

Menurutnya, pegawai penyiasat terbabit kemudiannya meminta mangsa menyerahkan nombor yang tertera pada semua kad bank miliknya.

“Tanpa berfikir panjang mangsa menyerahkan semua nombor yang tertera pada tiga kad bank tempatan miliknya sebelum menamatkan talian.

“Sejam kemudian mangsa berkenaan dihubungi pihak bank yang memaklumkan terdapat transaksi pemindahan wang yang berlaku pada akaun miliknya.

“Pemeriksaan mendapati wang dalam akaun terbabit dipindahkan ke akaun bank tempatan milik seorang wanita sebanyak RM1,650 dan susulan itu mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang pada hari yang sama untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.

“Bagaimanapun, pengadu menarik balik laporan berkenaan kerana dengan alasan tidak mahu memanjangkan kes,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda