Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya menggesa ahli politik supaya menghenti menggunakan suruhanjaya itu sebagai sebagai alat politik untuk menyerang pemimpin lain.
Beliau berkata laporan yang bermotifkan politik menjadikan SPRM sukar bagi mengekalkan profesionalisme dan integritinya.
“Kami berusaha untuk menjadi profesional, dan kami tidak mahu SPRM digunakan sebagai alat. Kami akan menyiasat apabila kami menerima aduan, tetapi mesti ada asas untuk dakwaan itu.
“Terdapat banyak kes bila orang datang dan membuat laporan, dan kemudian, mendedahkan laporan mereka kepada media. Sesetengah ahli politik anggap bahawa kami tidak menyiasat kes mereka,” kata Latheefa yang dipetik oleh The Malaysian Insight.
Beliau dipercayai merujuk kepada desakan pemimpin pembangkang Sabah agar SPRM menyiasat penjualan tanah sebanyak RM155 juta kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah.
Naib Presiden Warisan Peter Anthony telah ditangkap dan direman tiga hari pada bulan Januari tahun lalu berhubung kes itu.
SPRM ketika itu juga sedang mengesan peguam Michael Persius Ubu untuk kes berkenaan.
Walau bagaimanapun, hingga hari ini Ubu masih belum dapat dikesan dan ini menyaksikan desakan semakin lantang meminta SPRM untuk menjejakinya.
Latheefa berkata SPRM akan menyiasat mana-mana kes yang mempunyai asas.
- malaysiakini
Tinggalkan komen anda