KUALA LUMPUR : Kerajaan memberi jaminan harga siling RON95 dikekalkan buat masa ini biarpun jangkaan akan berlaku kenaikan harga minyak dunia.
Ia susulan serangan terhadap loji minyak Aramco di Arab Saudi yang dijangka memberi kesan kepada harga minyak dunia, termasuk Malaysia.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan tidak boleh membuat keputusan terburu-buru berhubung penetapan harga minyak.
Katanya, penelitian dan kiraan kos subsidi perlu dinilai terlebih dulu sebelum satu keputusan dimuktamadkan.
“Buat masa ini, ya (harga RON95 masik kekal). Tetapi kita akan lihat perkara yang lain.
“Pertimbangan harus dibuat berdasarkan asas lebih kukuh untuk satu jangka masa yang panjang, bukan dari reaksi spontan saja. Saya rasa ia bukan perkara yang munasabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi taklimat Program Pengakuan Secara Sukarela anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Petaling Jaya, hari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam memaklumkan kerajaan memberi subsidi untuk mengimbangi kenaikan harga bahan api dan berpendapat serangan terhadap loji minyak Aramco dijangka memberi kesan kepada harga minyak di Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan lebih separuh pengeluaran minyak Arab Saudi terjejas dengan anggaran kerugian 5.7 juta tong sehari susulan serangan dilakukan pemberontak Houthi Yaman, di Abqaiq dan Khurais.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata serangan itu sudah pasti memberi kesan kepada perolehan PETRONAS.
“Tentu sekali untuk Petronas. Jika kita lihat pungutan, ia akan naik tetapi untuk negara dan pengguna biasa, ia akan ada kesan dari segi subsidi yang kita dibayar. Tentulah ia akan naik.
“Kita kena kaji lebih dalam sama ada ini akan berlarutan secara panjang. Kita buat keputusan (pemberian subsidi R0N95) secara terancang dan terperinci,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya pada program itu, Guan Eng mengulangi jaminannya bahawa tiada cukai baharu akan diperkenalkan kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2020 yang dijadual dibentang bulan depan.
Beliau berkata, kutipan cukai juga meningkat sebanyak 8.94 peratus sehingga 31 Ogos ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Ekonomi Malaysia dijangka berkembang secara lestari pada suku ketiga tahun ini selepas keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang dengan kukuh pada kadar 4.9 peratus dalam suku kedua tahun ini.
“Malaysia juga menerima faedah hasil pelaburan asing selepas ia meningkat 97.2 peratus kepada RM49.5 billion untuk suku pertama tahun ini berbanding RM25.1 billion pada tahun lalu,” katanya.
Tinggalkan komen anda