Bantal, baju Nazrin dihiris tiga tahun sebelum kes bunuh


shadow

SHAH ALAM – Prosiding perbicaraan hari pertama kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini memanggil tiga saksi awal.

Ketiga-tiga saksi awal itu merupakan jurufoto yang Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya iaitu Koperal Mahadin Bakar, Koperal Nazrin Zakaria dan Koperal Jumardi Musalim.

Perbicaraan kes itu yang bermula kira-kira jam 10 pagi tadi di hadapan Hakim Datuk Ab. Karim Ab Rahman menyaksikan penemuan awal apabila peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan wujud laporan polis yang dibuat sendiri oleh mangsa tiga tahun lalu sebelum pembunuhannya.

“Koperal Jumardi ada mengatakan pada 1 Oktober 2015, lebih kurang 1.59 pagi koperal ada pergi ke rumah berkenaan (Nazrin).

“Ini ada kena-mengena dengan laporan polis Damansara 014117/15 yang dibuat oleh Nazrin Hassan, si mati dalam kes ini,” kata Shafee.

Laporan polis itu disahkan sendiri oleh Jumardi kerana anggota polis itu juga yang mengambil gambar dan mengumpul kesan cap jari di lokasi kejadian pecah masuk pada 1 Oktober 2015.

“Ya, saya tahu bilik (kediaman) dipecah masuk itu juga melibatkan kes pembunuhan ini,” kata Jumardi yang mengesahkan pendedahan Muhammad Shafee pada prosiding kes pembunuhan itu di sebelah petang hari ini.

Menariknya, pendedahan Muhammad Shafee dalam laporan polis milik si mati itu menunjukkan kes pecah rumah itu disifatkan sebagai pelik kerana barangan di dalam bilik utama tidak dicuri sebaliknya dirosakkan sebagai tanda amaran.

“Baju-baru perempuan dan lelaki dalam bentuk suit dihiris-hiriskan. Satu komputer laptoppula dipatahkan, bukan dicuri, tapi dipatahkan.

“Kemudian ada pula contengan di dinding bilik utama dengan lipstik merah. Bantal tidur (suami isteri) dihiris-hiris dengan sesuatu yang tajam oleh orang masuk (ceroboh),” kata Muhammad Shafee ketika menyoal Jumardi.

Jumardi bagaimanapun mengesahkan insiden terbabit kerana dia antara anggota polis pertama yang sampai di lokasi untuk mengambil gambar.

“(Ada juga contengan dengan lipstik) di atas selimut,” kata Jumardi yang turut mengesahkan insiden pelik terbabit.

Terdahulu, pihak pendakwaan mahu membuktikan bahawa Nazrin, 47, mati akibat dibunuh dan bukan kerana satu kebakaran pada 14 Jun 2018.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, Nazrin dibunuh terlebih dahulu di bilik utama di kediamannya di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya sebelum dibakar untuk menutup punca kematian.

Raja Rozela berkata, pendakwaan akan membuktikan CEO Cradle Fund itu dibunuh antara jam 11.30 malam pada 13 Jun 2018 hingga 4 pagi pada 14 Jun 2018 di dalam bilik tidur utamanya.

Sebelum kejadian, Nazrin tinggal di kediaman terbabit bersama-sama tertuduh pertama yang juga isterinya, Samirah Muzaffar, 44 dan dua tertuduh remaja serta dua anak kecil selain seorang wanita warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari.

Sementara itu, seorang lagi saksi, iaitu Nazrin selaku jurufoto dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya yang mengambil gambar barang kes pembunuhan itu pula mengesahkan wujudnya darah di sekeliling mayat CEO Cradle Fund itu.

“Ada nampak (darah) di sekitar dan di bawah mayat, benar. Darah masih lagi basah, (darah mengalir) saya tak pasti. Darah itu merah, Yang Arif. Kemerahan darah itu saya tak nampak,” katanya yang mengesahkan gambar barang kes yang diambil di tempat kejadian.

Nazrin juga mengesahkan wujudkan sebatang besi seumpana anak panah yang terdapat di dalam bilik utama kediaman itu yang boleh dikaitan dengan pembunuhan itu.

“Dalam gambar saya hanya nampak hanya sebatang besi yang dikatakan anak panah. Ia dikatakan oleh ASP Nizam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda