1MDB: Amhari ‘bayangkan’ keakraban Jho Low dan Rosmah melalui panggilan telefon


shadow

KUALA LUMPUR –Saksi ke-8, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin memberitahu perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bahawa beliau sedia maklum tentang hubungan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho dan Datin Seri Rosmah Mansor sangat ‘akrab’.

Antara contoh yang diberikan oleh Amhari kepada peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika soal balas termasuk tentang perbualan telefon antara Jho Low dan Rosmah yang padanya sungguh ‘kuat dan jelas’.

Dakwa Amhari yang merupakan bekas pegawai khas Najib, ada kalanya ketika pertemuannya dengan Jho Low bersama-sama arwah Datuk Azlin Alias di Prince Hotel Kuala Lumpur, beliau kadang-kadang dapat ‘mencuri dengar’.

Namun kata Amhari yang juga bekas pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum dipinjamkan ke Pejabat Perdana Menteri itu memberitahu, beliau tidak pasti butiran perbualan antara Jho Low dan Rosmah.

Shafee: Dalam kenyataan saksi kamu ada beritahu kamu tidak boleh ikut arahan mana-mana melainkan ianya daripada Najib?

Amhari: Itu adalah nasihat tapi selalunya dipatuhi.

Shafee: Tunggu, jangan lompat. Hanya jawab soalan yang disoal sahaja. Dalam perenggan kenyataan saksi, kamu katakan kamu hanya ambil arahan daripada Perdana Menteri sahaja.

Amhari hanya menganggukkan kepala tanda setuju sahaja tanpa sebarang jawapan lisan.

Shafee: Tapi anda tidak pula dapatkan arahan daripada Najib ketika mahu membuka Bank BSI Switzerland di Singapura?

Amhari: Ya, saya tidak dapatkan arahannya.

Shafee: Bagaimana anda tahu Jho Low dan Datin Rosmah rapat?

Amhari: Ada beberapa kali ketika kami (arwah Azlin dan Jho Low) ketika mengadakan pertemuan di Hotel Prince, saya lihat Jho Low bercakap dengan Datin Rosmah dalam telefon.

Shafee: Jadi ianya merujuk kepada panggilan telefon?

Amhari: Ya, ketika saya bertemu dengan Datin Rosmah, beliau juga bercakap tentang Jho Low.

Shafee: Pernahkah kamu pergi ke majlis-majlis yang mana Jho Low dijemput?

Amhari: Ya, ada majlis kadangkala hanya sekadar pertemuan. Pertemuan dan majlis di kediaman di Langgak Duta, rata-rata majlis ini agak eksklusif dan Jho Low ada dijemput.

Shafee: Berapa ramai yang hadir?

Amhari: Dalam 100 orang, rata-ratanya tokoh penting dan berkenamaan sahaja.

Shafee: Dari situ anda katakan Jho Low dan Datin Rosmah amat rapat?

Amhari: Ya, betul.

Shafee: Tahukan anda tentang butiran perbualan mereka?

Amhari: Tidak tapi kadangkala saya boleh dengar suara Datin Rosmah yang begitu kuat. Pada masa itu, Jho Low akan meminta kami untuk diam dan membiarkan beliau bercakap dulu dengan Datin Rosmah dalam telefon.

Perbicaraan bersambung selepas makan tengah hari. –MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda