Zakir mesti bijaksana, buktikan Islam baik untuk semua


shadow

ULASAN | Kekuatan sebenar Malaysia ialah kemajmukannya.

Kehidupan harmoni pelbagai kaum dan agama menjadi karakter utama negara ini. Lalu sesiapa jua yang cuba mengugat keharmonian ini wajar bertangungjawab atas tindakan mereka.

Jika benar apa yang diucapkan oleh Dr Zakir Naik di Kota Baharu itu bersifat menghasut dan boleh mengancam kehidupan rukun damai masyarakat Malaysia, maka beliau harus bertanggungjawab dan menghadapi proses undang-undang.

Kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin dalam perlembagaan. Tetapi ia bukan bersifat mutlak. 

Tiada siapa jua – walau seorang ulama besar mahupun negarawan – mempunyai kebebasan untuk memperlekehkan status, kedudukan dan kewarganegaraan kaum tertentu di Malaysia.

Kepada Zakir, anda telah dilayan dengan terhormat di negara ini.

Anda seorang pendakwah yang terkemuka. Maka menjadi tanggungjawab anda untuk berlaku bijaksana dan menujukkan teladan bahawa Islam itu adalah kebaikan untuk semua.

Jika tidak berupaya melakukan itu, maka anda tidak boleh menyalahkan kerajaan Malaysia jika ia bertindak ke atas saudara.

Namun tindakan mengusir Zakir haruslah dipertimbang sebaik-baiknya. Dr Mahathir Mohamad berhadapan dengan keadaan yang sukar.

Tidak mengusir Zakir akan dilihat sebagai menerima kata-kata beliau yang menyinggung perasaan, malah tidak menghormati kaum-kaum tertentu di Malaysia.

Namun jika beliau dihantar pulang, nyawa dan hak asasi beliau akan terancam. Justeru kita mesti bertindak rasional.

Walau macam mana tidak bersetuju pun kita dengan pendapat Zakir dalam isu tertentu, keadilan hanya akan dapat dicapai jika kita mendapat jaminan bahawa hak asasi dihormati, andainya beliau diusir.

Jika diyakini bahawa hak asasi itu akan dikompromi, maka Malaysia bertanggungjawab untuk bertindak dengan bijaksana berdasarkan amalan terbaik perundangan antarabangsa.

Perdana Menteri harus mengimbangi kepentingan nasional, hak asasi Zakir dan pertimbangan politik pelbagai kaum di Malaysia. Yang pasti, kita mengharapkan keputusan berhikmah dari beliau.

  • malaysiakini


Tinggalkan komen anda