VAT69 bantu cari Nora


shadow

PASUKAN komando VAT69 turut dikerahkan ke lokasi pencarian remaja warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, bagi membantu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Pantai, Seremban.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, pihaknya menggunakan semua tenaga dari pelbagai jabatan dan unit dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk memanggil pasukan elit berkenaan.

“Kami masih meneruskan operasi SAR hari ini dengan kekuatan seramai 261 petugas dari pelbagai agensi dan bantuan dron.

“Jumlah ini termasuk 21 anggota dan dua pegawai dari VAT69 yang berpengkalan di Ipoh, Perak.

“Polis menggunakan sepenuhnya sumber manusia yang ada dan berharap kepakaran pasukan khas ini dapat membantu operasi pencarian,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Pantai hari ini.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk yang kukuh atau jejak kedudukan remaja istimewa itu dan masih meneruskan operasi dengan memeriksa kawasan seluas enam kilometer persegi.

Katanya, polis hari ini juga menyebarkan dan poster remaja berkenaan kepada orang ramai di sekitar Pantai selain turut menampalnya di sekitar lokasi tumpuan.

“Poster turut diedarkan kepada orang ramai ketika sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan sejak hari kedua kehilangan remaja berkenaan dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah menyemak dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)dan mendapati Nora Anne tiba bersama bapanya dan dua lagi adiknya dari London, manakala ibunya tiba kira-kira 20 minit kemudian dari Singapura pada Sabtu lalu.

“Polis juga sudah memeriksa semua komunikasi keluarga berkenaan sama melalui emel atau medium lain,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda