Utusan perlu kembali jadi lidah rakyat, bukan lidah Umno


shadow

Gerakan Media Merdeka (Geramm) menyambut baik khabar mengenai Utusan Malaysia dan Kosmo! akan terus diterbitkan dengan harga baru bagi menanggung kos operasi syarikat berkenaan.

Semasa menjawab soalan wartawan dalam sidang media di pejabat Utusan Melayu (M) Bhd di Kuala Lumpur hari ini, Pengurusi Eksekutif Kumpulan Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir memaklumkan seramai 800 orang kakitangan akan mendapat bayaran tunggakan gaji sebanyak RM2,000.

Dalam sesi sidang media berasingan, pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) cawangan Utusan Melayu, Taufek Razak, turut mendedahkan bayaran gaji itu dibuat hasil suntikan dana berjumlah RM1.6 juta daripada Umno.

Dengan semangat solidariti bersama semua #kawangeramm di Utusan Melayu, Geramm mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu.

Mengambil kira sejarah panjang dan sumbangan Utusan Melayu sebagai antara akhbar tertua di Malaysia, Geramm percaya masih ramai yang sudi untuk memberikan sokongan.

Pada masa sama, dalam menghadapi kemelut yang melanda, Geramm turut percaya bahawa proses untuk menjadikan Utusan Melayu “sebagai lidah rakyat dan bukannya lidah Umno” (seperti diungkapkan oleh Aziz dalam sesi sidang medianya) boleh menjadi kunci untuk mengembalikan sokongan pembaca lama dan baru.

Ini kerana umum mengetahui peranan Umno untuk menaikkan dan juga menjatuhkan akhbar-akhbar Utusan Melayu di mata pembaca.

Apa-apa pun kami di Geramm tetap menghargai bantuan yang dihulurkan.

Geramm juga tegas dengan pendirian bahawa campur tangan politik dalam media perlu dihentikan.

Bukan sahaja di Malaysia, pola yang sama sudah lama berlaku di negara-negara jiran dengan landskap media yang lebih terbuka, dengan media yang dimiliki secara langsung atau tidak langsung oleh parti politik dianggap kurang dipercayai berbanding media bebas.

Dalam keadaan Umno telah melepaskan pegangan saham dalam Utusan Melayu, mungkin sudah tiba masanya akhbar Utusan benar-benar kembali kepada sejarah penubuhannya sehingga dikenali sebagai wadah utama orang Melayu secara khusus dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Semangat sayangkan Utusan yang dizahirkan melalui piket anjuran NUJ Utusan perlu diteruskan oleh semua #kawangeramm ke arah media Malaysia yang lebih merdeka.

  • malaysiakini


Tinggalkan komen anda