Ulama antarabangsa, anak ‘tok garu’ musuh politik PAS


shadow

Sama ada orang biasa atau ulama – termasuk bertaraf antarabangsa – seseorang itu sentiasa terdedah kepada kemungkinan menjadi tali barut DAP, kata salah seorang ulama kanan PAS hari ini.

Anggota Jawatankuasa Ulama Pusat PAS, Mokhtar Senik, juga berkata sesiapa saja yang mendukung agenda DAP akan dianggap sebagai musuh parti terbabit.

Menganggap mereka sebagai tali barut, Mokhtar berkata golongan terbabit ialah individu yang berwajah Melayu namun “berhati perut DAP”.

“Berhati-hati dengan tali barut yang berwajah Melayu tapi berhati perut DAP.

“Tidak kira ia orang biasa atau ulama bertaraf antarabangsa, tidak kira ia orang tak terkenal atau profesional, keturunan tok guru atau tok garu.

“Siapa saja yang mendukung agenda DAP adalah musuh politik kita,” katanya melalui hantaran di media sosial petang ini.

Mokhtar yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS menambah kemaraan “tali barut DAP” itu hanya dapat dihalang dengan cara menyuburkan rasa cinta kepada Islam, bangsa dan negara.

Katanya perasaan sayang kepada tiga faktor itu perlu disuburkan bagi mengelak orang Islam di negara ini menjadi mangsa DAP.

“Jika rasa cinta kepada Islam, bangsa dan negara pudar, maka amat mudah umat ini menjadi bahan ratahan DAP.

“Tiga benteng utama ini wajib dijaga dengan rapi,” katanya.

Bagaimanapun tulisan ulama kanan PAS itu tidak merujuk kepada mana-mana nama khusus atau laporan berita seperti sebelum ini.

Bekas calon PAS Parlimen Padang Besar yang tewas pada PRU14 itu antara pimpinan yang aktif di media sosial sekali gus banyak mengkritik kerajaan PH khususnya DAP.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda