Teksi motosikal bantu kurangkan kadar pengangguran belia


shadow

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menyokong cadangan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal kepada anak muda di negara ini.

Pengarah eksekutifnya, Shamsuddin Bardan, berkata jika perkhidmatan itu dilaksanakan, ia dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.

Katanya perkhidmatan itu juga dapat menjadi alternatif kepada orang ramai yang mahukan kos pengangkutan lebih rendah berbanding teksi kereta.

Menurut Shamsuddin lagi, perkhidmatan awam menggunakan motosikal bukanlah sesuatu yang asing di negara ini.

“Menggunakan motosikal untuk mencari punca pendapatan telah bertapak di negara ini terutamanya dalam sektor penghantaran dokumen, barangan-barangan kecil, dan terkini, yang popular adalah penghantaran makanan.

“Usaha membenarkan motosikal digunakan sebagai teksi dapat menyalurkan minat anak muda kepada kenderaan itu ke arah lebih berfaedah sambil menjadikan ia punca rezeki.

“Langkah ini akan dapat mengurangkan pengganguran dalam kalangan orang muda yang ketika ini tiga kali ganda kadar pengangguran negara,” katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Syed Saddiq berkata, cadangannya untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal di negara ini bukan sahaja mengelakkan golongan muda terdedah daripada aktiviti lumba haram tetapi secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan terbabit. 

Alasan faktor keselamatan

Terkini, kabinet memberikan lampu hijau kepada cadangan tersebut.

Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Belia dan Sukan diarah untuk melaksanakan kajian terperinci perkhidmatan tersebut, termasuk dari aspek peraturan keselamatan dan pekerjaan.

Menurut laporan tahunan Bank Negara pada 2016, menyatakan kadar pengangguran belia di Malaysia dianggarkan mencecah 10.7 peratus pada 2015 iaitu tiga kali lebih tinggi daripada kadar pengangguran negara sebanyak 3.1 peratus.

Pengangguran belia semakin meningkat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini kerana kadar pengambilan pekerja yang menurun sejak akhir 2014. 

Shamsuddin berkata, pengguna juga akan mendapat manfaat daripada cadangan tersebut memandangkan ia merupakan pengangkutan yang lebih mudah dan pantas untuk sampai ke sesuatu destinasi, terutamanya di bandar-bandar yang sesak. 

Dua hari lalu, Syed Saddiq mengumumkan di Twitter, beliau membawa pengasas Gojek Indonesia, Nadiem Makarim, bertemu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Untuk rekod, pada Januari 2017, menteri pengangkutan ketika itu, Liow Tiong Lai mengharamkan perkhidmatan teksi motosikal di negara ini, Dego Ride, atas alasan keselamatan.

Pada September 2018, Loke turut berpendirian bahawa perkhidmatan sedemikian tidak dibenarkan atas alasan yang sama.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda