Tangan ajaib Cikgu Shahrizal


shadow

“SEBENARNYA, saya tidak pernah belajar melukis tetapi gemar menyertai pertandingan sejak berumur enam tahun lagi dan sering memenangi hadiah utama setiap kali turut serta,” kata Shahrizal Sha’ari.

Shahrizal, guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kulai Besar, Kulai, mencuri perhatian warganet yang kagum dengan inisiatifnya membantu murid meluaskan kosa kata menerusi lukisan ketika mengajar.

Rata-rata warganet turut memuji kreativiti guru berusia 32 tahun itu dan menganggap pendekatan itu berkesan dalam menarik minat pelajar generasi masa kini.

Menceritakan latar belakangnya, Shahrizal berkata, selain melukis di atas kertas, beliau berkebolehan menghasilkan mural dan karya seni lain.

Katanya, minat terhadap seni lukis berterusan sehingga dewasa dan beliau cuba memanfaatkan kemahiran dimiliki bagi menarik minat pelajar terhadap subjek Bahasa Inggeris.

“Pendekatan itu digunakan bagi menarik minat pelajar mempelajari Bahasa Inggeris di samping mempelbagaikan kaedah sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P).

“Kaedah itu digunakan sejak enam tahun lalu dan salah satu cara saya untuk memberi kefahaman selain membantu pelajar meluaskan kosa kata mereka.

“Bukan setiap masa tetapi hanya ketika mengajar pelajar di ‘kelas belakang’. Idea itu tercetus selepas melihat ada dalam kalangan mereka yang tidak pernah mendengar sesuatu perkataan atau mengetahui bentuk sesuatu objek sehingga diberi gambaran menerusi lukisan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Demi memastikan pelajar mengambil bahagian di dalam kelas, Shahrizal akan mengadakan ujian kosa kata dengan meminta mereka melukis di papan putih berdasarkan perkataan.

Katanya, dengan cara itu, beliau dapat menguji pemahaman pelajar dan melihat peningkatan prestasi mereka dari masa ke semasa.

“Setakat ini, pelajar saya dapat menerima kaedah ini. Ada dalam kalangan mereka yang mengambil masa untuk membiasakan diri.

“Malah, saya boleh nampak peningkatan berdasarkan kepelbagaian perkataan digunakan dan cara mereka menghubungkan satu ayat dengan yang lain.

“Sebagai guru, saya gembira dengan perubahan itu dan pihak sekolah terutama pengetua juga tidak menghalang saya menggunakan kaedah ini.

“Kebiasaannya, saya akan memasuki kelas lebih awal bagi melukis apa saja yang berkaitan dengan skop pembelajaran seperti buahan dan makanan sebagai persediaan sebelum mula mengajar,” katanya yang mula berkhidmat di sekolah berkenaan sejak 2002.

Mengenai gambar yang tular di media sosial, Shahrizal berkata , beliau tidak sangka kaedah pengajarannya itu mendapat perhatian ramai termasuk dalam kalangan warganet.

“Sebenarnya, saya pernah berkongsi idea ini dengan menerusi kumpulan guru di Facebook.

“Mungkin disebabkan perkongsian mereka, gambar berkenaan tersebar luas dan saya berharap perkongsian itu memberi manfaat serta sumber inspirasi kepada guru di luar sana untuk mempelbagaikan kaedah ketika P&P,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda