Taikun didakwa hina ATM hadir di balai polis


shadow

Pengasas Gamuda Bhd Koon Yew Yin hadir di Balai Polis Jelapang di Perak hari ini berhubung kenyataannya terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dianggap sesetengah pihak sebagai menghina.

Beliau tiba di pekarangan balai polis berkenaan dengan menaiki kenderaan jenis BMW yang dipandu seorang wanita pada pukul 2.55 petang.

Wanita itu ketika ditemui pemberita selepas menurunkan Koon di pintu masuk balai enggan memberi kenyataan, sebaliknya hanya mengucapkan terima kasih kepada lebih 10 pengamal media yang menunggu kehadiran mereka sejak 2.30 petang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Malim Nawar Leong Cheok Keng yang juga seorang peguam turut dilihat tiba pada pukul 3.10 petang.

Bagaimanapun pengamal media tidak dapat memasuki balai polis itu berikutan pintu pagar dikunci oleh pihak polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed dilaporkan berkata Koon dipanggil pihak polis susulan laporan yang diterima terhadap ahli perniagaan itu kerana kenyataan yang didakwa menghina ATM pada 14 Ogos lepas.

Bagaimanapun, Koon telah membuat permohonan maaf setelah menerima tekanan pelbagai pihak termasuk daripada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

– Bernama

Tinggalkan komen anda