Sudah ‘darurat’, perlu roboh replika


shadow

TIADA kaedah baik pulih yang boleh dilakukan selain tindakan merobohkan replika buku di puncak Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur demi keselamatan.

Itu komen jurutera sebuah syarikat yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR) Muhammad Amirul Md Razdi selepas pemeriksaan dilakukan pasukannya pada Julai lalu.

Menurutnya, berikutan replika buku itu berada di bahagian paling atas, ia boleh menjadi isu keselamatan jika tiada tindakan dibuat segera.

Muhammad Amirul turut memuat naik beberapa gambar struktur replika yang sudah tidak selamat di akaun Twitternya sebelum tular di laman sosial.

Ketika dihubungi Harian Metro, Muhammad Amirul berkata, dia naik ke Menara DBP pada Julai lalu untuk melihat kerja pemasangan penahan struktur sedia ada.

“Sebelum kerja pemasangan sistem sokongan sementara dibuat, kami pergi untuk melihat keadaan struktur kekuda (truss structure) sebelum beberapa analisis dibuat.

“Untuk gambaran lebih jelas, pihak JKR ada meletakkan ‘tension cable’ untuk support (menyokong) struktur kekudanya tetapi sudah berada dalam keadaan tegang dan berbahaya.

“Saya kira, tiada rectification method (kaedah pemulihan) yang boleh dibuat melainkan buang kesemuanya,” katanya.

Menurutnya, struktur berkenaan hanya menunggu masa untuk roboh ketika dia melakukan pemeriksaan.

“Tunggu masa nak roboh je, malah ketika buat inspection (pemeriksaan) hari tu dah berasa seram sejuk,” katanya.

“Saya hanya menjelaskan fakta yang benar berlaku, sebab ini semua faktor keselamatan dan bukan dari sudut politik atau sebagainya.

“Disebabkan replika ini ‘exposed’ di atas, bila-bila masa boleh jadi kemalangan kalau tidak dibuat segera.

“Beberapa penilaian dibuat oleh JKR sebelum keputusan diambil untuk kerja merobohkannya termasuk daripada sudut penahan sementara, struktur perlindungan, analisis perobohan, analisis berisiko dan keselamatan,” katanya.

Menurutnya, mesyuarat bersama JKR dilakukan dan projek itu diisytihar darurat serta perlu dibuat tindakan segera atas faktor keselamatan.

-myMetro

Tinggalkan komen anda