Suami terjebak maksiat


shadow

SAYA ingin mendapatkan nasihat serta pendapat puan mengenai kisah sedih saya alami selepas jiran terserempak dengan suami keluar dari pusat urut di sebuah kawasan di ibu negara, beberapa bulan lalu.

Jiran saya itu memaklumkan, dia terpaksa memberitahu perkara itu walaupun dirasakan ia seperti membuka aib suami.

Dia bimbang suami saya akan menjadi ketagih dan banyak menghabiskan wang melakukan perbuatan tidak bermoral yang selalu dikaitkan dengan pusat urut.

Seperti yang didedahkan media, sudah banyak serbuan di buat ke atas pusat urut yang kebanyakannya menyediakan wanita warga asing berpakaian tidak senonoh serta ada menawarkan khidmat seks.

Saya sangat risau dengan perkara itu. Bagaimanapun, setakat ini saya belum bertanyakan hal itu kepada suami kerana tiada bukti kukuh. Ia hanya bersandarkan makluman jiran yang kebetulan terserempak dengannya.

Seandainya perkara itu benar-benar berlaku, saya berharap sangat dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi. Namun, bagaimana pula jika suami terus mengunjungi tempat seperti itu?

Adakah saya patut bersemuka dan minta penjelasan daripadanya? Saya tidak mahu disebabkan buruk sangka ini menyebabkan suami marah dan hubungan kami menjadi retak.

QR, Kuala Lumpur

Sifat puan yang berhati-hati menerima berita yang disampaikan jiran itu adalah satu sifat yang dituntut agama. Allah SWT memerintahkan golongan mukmin memeriksa dengan teliti berita yang disampaikan seperti firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu orang yang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum dengan tidak mengetahui, maka jadilah kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Ayat itu diturunkan berhubung kisah yang berlaku pada zaman Nabi SAW di mana sahabat Baginda, al-Walid bin Uqbah yang diutuskan Rasulullah SAW memungut zakat daripada Bani al-Mustaliq.

Selepas berita itu sampai kepada Bani al-Mustaliq, mereka gembira sehingga keluar beramai-ramai bagi menyambut kedatangan utusan itu. Sebelum sampai ke sana, ada seorang munafik memberitahu al-Walid bahawa kabilah itu murtad dan tidak mahu membayar zakat, bahkan berhimpun di luar kota untuk menghalang kedatangannya.

Selepas menerima berita itu, dia segera kembali ke Madinah melaporkan situasi berkenaan. Rasulullah SAW sangat marah mendengarnya lalu menyiapkan sepasukan tentera bagi memerangi mereka.

Sebelum tentera itu berangkat, datang utusan menghadap Rasulullah: “Wahai Rasulullah, kedatangan kami ke sini untuk bertanya mengapa utusan Rasulullah tidak sampai untuk memungut zakat, bahkan kembali dari tengah perjalanan? Kami mempunyai dugaan bahawa timbul salah pengertian antara utusanmu dengan kami.”

Oleh itu, ayat berkenaan diturunkan. Walau bagaimanapun, sebagai isteri, wajar untuk mendapatkan penjelasan mengenai berita yang diterima, apatah lagi membabitkan perbuatan yang boleh menjerumuskan suami kepada maksiat dan dosa.

Cuma, cara bagaimana penjelasan itu diperoleh isteri perlu ketahui supaya tidak menjejaskan hubungan suami isteri. Selagi isteri tidak jelas mengenai berita itu, sudah pasti ia akan memberi kesan kepada emosi dan kepercayaan isteri dalam tempoh panjang.

Malah, jika benar suami melakukan perbuatan atau aktiviti terbabit, ia akan menyebabkan dirinya berterusan dalam dosa atau mendedahkan dirinya kepada dosa lebih besar.

Tidak dinafikan, dalam situasi semasa, kita dimaklumkan melalui media, operasi perniagaan pusat urut terbabit lazimnya mendedahkan pelanggan kepada berlakunya perkara yang ditegah agama melainkan pusat urut yang diusahakan itu berlandaskan hukum syarak dan menjaga batas yang dibenarkan syarak.

Dalam Islam, isteri wajib menegur dan menasihati suami jika mendapati dia melakukan perbuatan ditegah agama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya, jika tidak mampu maka cegahlah dengan lidah namun jika tidak mampu, cegahlah ia dengan hati. Itu adalah selemah-lemah iman.”

Hadis itu menunjukkan kewajipan seorang Muslim mencegah kemaksiatan yang berlaku sesama Muslim. Jika yang melakukan maksiat itu adalah suami, maka isteri lebih utama untuk mencegah serta menasihatinya.

Isteri perlu berusaha membantu suami untuk berubah. Langkah yang boleh dilakukan adalah menegur serta menasihati suami dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

Sebagai isteri, sudah pastinya puan sangat mengenali kelebihan dan kekurangan suami. Jika tidak mampu, puan boleh minta bantuan pihak ketiga, sama ada dalam kalangan ahli keluarga, rakan yang dipercayai atau pakar kaunseling rumah tangga.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah orang tengah (untuk mendamaikan mereka iaitu) seorang daripada keluarga lelaki dan seorang daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua orang tengah itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua-dua (suami isteri itu) berpakat baik.” (Surah an-Nisa’, ayat 35)

Penulis adalah peguam syarie

-myMetro

Tinggalkan komen anda