Shafee: Buktikan Najib tahu ‘derma Saudi’ palsu, baru boleh hukumnya


shadow

KES NAJIB | Pasukan pembelaan tidak yakin pendakwaan mampu mengaitkan Najib Razak dalam pertuduhan pengubahan wang haram dalam kes dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion.

Mengulas pernyataan pembukaan pendakwaan hari ini, ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah mendakwa sumber wang yang dibelanjakan bekas perdana menteri itu tidak menjadi isu.

Sebaliknya, kata Shafee, apa yang penting dalam kes itu ialah sama ada Najib tahu wang yang disalurkan ke akaunnya berasal dari 1MDB.

“Kami sentiasa mengatakan apa saja berkenaan wang itu, anak guam saya sejujunya percaya ia datang dari raja Saudi, kerana dia bertemu raja Saudi dan ada janji berkenaan AS$1 bilion (RM4.21 bilion),” katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

“Dan wang itu memang ke akaunnya. Ini pembelaan kami, kami sentiasa menyebutnya, tiada rahsia.

“Persoalannya, bagaimana anda sangkal bahawa inilah keyakinannya? Saya tak peduli dari mana wang datang dalam pendakwaan (pengubahan wang haram) ini, kerana dia sentiasa yakin ia adalah derma.”

Shafee menjawab soalan berkenaan hari pertama perbicaraan 1MDB yang ditunggu-tunggu hari ini, dan pernyataan pembukaan ketua pendakwaan Gopal Sri Ram.

“Jadi sama ada dokumen palsu atau tak, anda (pendakwaan) buktikannya. Malah jika anda dapat buktikannya, anda perlu buktikan Najib tahu ia dipalsukan.

“Saya tak peduli sama ada Low Taek Jho tahu. Adakah Najib tahu? Hanya selepas itu anda boleh hukumnya,” kata Shafee.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda