Senyap-senyap ‘member’ selit duit…


shadow

PERTEMUANNYA lebih kepada beramah mesra dengan rakan lama, namun tiada siapa menyangka seorang pemandu Grab menemui beberapa keping duit yang diselitkan rakan termasuk di celah rim keretanya.

Nik Muhammad Khairul Danial Nik Mohammad Wafdi, 22, duit berkenaan diletakkan secara senyap-senyap ketika dia leka berbual bersama seorang lagi rakan, sebagai tanda penghargaan membawanya makan bersama.

Menceritakan kisah itu, dia bersama tiga rakan keluar bersama menaiki kereta sebelum mereka singgah di sebuah restoran di Gombak.

“Selepas itu, saya menghantar mereka di Batu Caves dan meluangkan masa seketika untuk berbual. Sedang asyik berbual, saya tidak perasan salah seorang daripada mereka meletakkan duit termasuk celah penyaman dan beg udara, tin minuman serta rim.

“Rakan hanya memberitahu sebelum saya berangkat untuk bekerja. Mereka suruh saya cari dan kutip dahulu wang itu sebelum bergerak.

“Bila saya cari, ada yang diletakkan celah rim dan lain-lain tempat. Saya kutip dahulu wang itu lebih RM50 sebelum meneruskan perjalanan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, memandangkan sudah menjadi kebiasaan, dia menggunakan wangnya untuk membayar makanan dan minuman.

“Kadang-kadang rakan membayar dan begitulah sebaliknya. Tapi dari awal lagi saya memberitahu untuk tidak mahu terima wang itu hingga mereka berbuat demikian,” katanya.

Susulan itu, Nik Muhammad Khairul Danial memuat naik gambar terbabit dalam Twitternya. Antaranya: “Tak ramai kawan, cukup lah dapat kawan kawan yang jenis menghargai ni. A real gems.

(btw aku dah kata no need, aku tumpangkan diorang bawak gi tempat lepak bukan jauh pun, haih aku betul betul tak perasan bila diorang selit ni).”

Menurut bekas graduan Landskap Seni Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak, mereka kerap bertemu jika berada di Kuala Lumpur.

“Kami belajar bersama di UiTM jadi jika ada kelapangan, kami akan bertemu dan berbual di mana-mana kedai,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda