Saman untuk ‘si kepala besi’


shadow

SIKAP degil segelintir pelajar enggan memakai topi keledar membawa padah apabila disaman polis menerusi Op Didik dijalankan berhampiran sebuah sekolah di Telok Gadong, Klang, semalam.

Operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, kira-kira jam 6.30 pagi, selepas menerima aduan awam mengenai tindakan pelajar mengabaikan peraturan lalu lintas ketika ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sebanyak 36 saman dikeluarkan pihaknya dalam operasi dijalankan kira-kira dua jam itu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 21 saman dikeluarkan bagi kesalahan tidak memakai topi keledar.

“Sebanyak 17 saman dikeluarkan kepada pelajar sekolah manakala empat lagi kepada ibu bapa yang tidak memakai topi keledar ketika menghantar anak mereka ke sekolah.

“Antara alasan diberikan adalah jarak rumah yang dekat dengan sekolah sehingga sanggup mengabaikan aspek keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan saman bagi kesalahan tidak membawa lesen memandu, tiada lesen memandu selain tiada cermin sisi serta kesalahan nombor pendaftaran motosikal.

“Tiada tangkapan dan sitaan dilakukan polis sepanjang operasi dijalankan.

“Sehubungan itu, polis menasihatkan pelajar serta ibu bapa supaya sentiasa peka keselamatan dan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda