RM100,000 dalam akaun Hasan Malek dilucut hak


shadow

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur memerintahkan RM100,000 yang dibekukan daripada akaun bank bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek dilucut hak kepada kerajaan.

Wang itu dibekukan kerana berkait siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat memberitahu mahkamah bahawa pemohon (pendakwaan) memasukkan representasi untuk pemulangan wang berkenaan.

Menurut Mahadi, afidavit dikemukakan tidak dibalas oleh responden (Hasan Malek) dan warta hari ini, tiada pihak ketiga yang hadir.

“Justeru, kami pohon kesemua wang yang disita, dilucut hak kepada kerajaan Malaysia,” katanya ketika sebutan kes itu, hari ini.

Peguam Muhammad Iqbal Ismail yang mewakili Hasan mengesahkan perkara itu dan pihak responden tidak membantah wang itu dilucut hak.

Mahkamah turut menetapkan 4 dan 5 Disember depan untuk pendengaran bagi tiga entiti yang dikatakan berkaitan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Tiga entiti itu ialah UMNO, Wanita MCA dan Badan Perhubungan UMNO Sabah.

Mahadi berkata, pihak pemohon memfailkan afidavit pada 23 Ogos, manakala responden memfailkan afidavit balasan pada 6 September.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa tiada pihak ketiga yang muncul untuk menuntut wang itu.

“Pewartaan pihak ketiga disiarkan pada 24 Julai bagi kesemua responden dan tiada pihak ketiga yang hadir,” katanya.

Jumlah wang yang dimohon kerajaan untuk dilucut hak daripada UMNO ialah RM212,965,413.61 manakala, Wanita MCA berjumlah RM300,000 dan Badan Perhubungan UMNO Sabah sebanyak RM1,254,112.24.

Mohamed Zaini kemudian menetapkan 27 September depan untuk pemohon memfailkan hujahan bertulis, manakala 18 Oktober depan sebagai tarikh hujahan balas oleh pihak responden.

“Manakala hujahan terakhir pemohon difailkan sebelum atau pada 8 November depan,” katanya.

Responden diwakili peguam Aieshah Nadia Masdar (UMNO), Low Hai Liang (Wanita MCA) dan Badan Perhubungan UMNO Sabah diwakili peguam Harcharanjit Singh.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwaan mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

-myMetro

Tinggalkan komen anda