Polis Thai buru 10 suspek siri bom di Bangkok


shadow

Polis Thailand sedang memburu sekurang-kurang 10 suspek kejadian siri letupan di Bangkok Jumaat lepas, kata Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butir-butir lanjut mengenai suspek berkenaan.

Katanya polis sedang bekerja keras untuk menyiasat motif kejadian, yang berlaku semasa Thailand menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean dan Pasca Persidangan Menteri serta Mesyuarat Berkaitan (AMM/PMC), yang dihadiri oleh para diplomat, termasuk dari Amerika Syarikat dan juga China.Iklan

“Polis sedang menyiasat dari setiap sudut bagi mendapatkan motif kejadian, kita perlu tangkap dan dakwa mereka (suspek),” katanya kepada pemberita di Bangkok hari ini.

Menurutnya ketika ini tiada sebarang bukti yang menunjukkan mana-mana kumpulan tertentu atau ahli politik yang terlibat dengan kejadian itu.

“Dalang perbuatan ini adalah mereka yang tidak berhati perut, yang berhasrat menimbulkan huru-hara di dalam negara,” katanya.

Jumaat lepas polis menemui sembilan bom, termasuk beberapa bom yang tidak meletup, di lima lokasi di tengah ibukota Bangkok, selepas beberapa letupan mengakibatkan empat orang tercedera.

Media tempatan melaporkan siasatan polis berjalan dengan lancar dan mereka telah pun mengenal pasti suspek berdasarkan beberapa rakaman kamera survelan di kota raya.

Sementara itu polis juga meningkatkan tahap keselamatan di ibu kota, terutama di kawasan tumpuan ramai dan pejabat-pejabat kerajaan, apabila lebih banyak petugas dan kenderaan polis dilihat meronda di beberapa kawasan.

– Bernama

Tinggalkan komen anda