Pok Ya: Apa salahnya ‘bumbung terbalik’ di DBP dirobohkan?


shadow

Sebagai salah seorang yang pernah pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sabri Yunus turut menyatakan perasaannya berhubung isu perobohan struktur di atas bangunan agensi kerajaan itu.

Berbanding pendirian orang lain yang menyokong atau membantah ia dirobohkan, pengarah dan pelakon terkenal itu sebaliknya berasa “kesian”.

Namun perasaan simpati itu bukan ditujukan kepada DBP, sebaliknya kepada semua orang yang terlibat serta rakyat di negara ini.

“Kesian kita semua, kesian negara kita,” katanya melalui hantaran di media sosial hari ini.

Menurut pelakon dan pengarah Pok Ya Cong Codei itu, kekecohan mengenai perobohan struktur itu – yang dianggap sesetengah pihak sebagai rehal, manakala yang lain melihatnya sebagai buku – berlaku apabila ia menjadi isu politik.

Politik negara pula, katanya, berada dalam keadaan “tidak cantik”.

“Jadi tidak salah netizen untuk berpandangan begitu, kerana sudah banyak perkara lain pun tak lepas dari isu politik, maka isu DBP ini pun terkait,” katanya.

Tak suka dari dulu

Terdahulu, bekas pengarang kanan Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain, memuat naik hantaran di Facebooknya bagi mengulas keputusan DBP merobohkan replika berkenaan.

Menurut Ku Seman, rekaan struktur itu – yang dianggapnya menyerupai rehal – dilihat sebagai syiar Islam sesuai dengan agama itu sebagai agama persekutuan.

“Saya juga melihat kerja tidak cerdik merobohnya sebagai ciri-ciri Islamofobia,” kata Ku Seman.

Bagaimanapun komen berkenaan mendapat reaksi yang pelbagai, termasuk mempertikaikan kewajaran dia mengaitkan binaan berkenaan dengan syiar Islam.

Ketua Pengarah DBP, Abang Sallehuddin Abang Shokeran, berkata replika itu bakal diroboh atas nasihat Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana melibatkan aspek keselamatan.


Baca Replika nak diroboh: Bukan kami tak sayang, kata DBP


Sementara itu, Sabri yang pernah berkhidmat di DBP selama 10 tahun 11 bulan itu berkata, dia tidak pernah melihat bumbung pada pada bangunan itu sebagai rehal atau buku.

Sebaliknya, matanya menganggap replika tersebut sebagai bumbung terbalik dan ia bukanlah binaan yang cantik.

“Saya rasa pelik dan secara peribadi tak suka. Tak apa, itu peribadi. Hari ini bila timbul cerita nak diroboh. Saya secara peribadi setuju, sebab memang dari dulu saya tak suka.

“Pada saya lambang DBP tetap pada lukisan mural di bangunan lama,” jelasnya.

Tambah Sabri, dia sendiri tidak sempat bertugas di bangunan baru menara DBP tersebut dan hanya bekersempatan bekerja di bangunan lama.

“Masa saya berhenti tahun 1993 bangunan menara belum dibuat. Bila siap dan semua pindah saya dah lama tak jadi orang DBP, tapi hubungan dengannya tak pernah putus,” katanya.

Dalam hantaran sama Sabri juga memuat naik gambar keadaan struktur binaan itu yang dalam keadaan uzur.

“Besi-besi itu dah teruk sangat keadaannya.

“Walaupun ada yang kata masih baru, dah dibaiki tahun lepas. 

Pada saya soalnya inilah keadaan hari ini. Memang kena buat sesuatu. Tukar atau roboh, atau begitukah?” katanya. 

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda