Pengecam dalam talian perlu dikawal, kata Nam Ron


shadow

Amalan memberi kecaman semberono dalam kalangan warganet wajar dihentikan segera, kata pelakon dan pengarah, Nam Ron.

Kecewa dengan sikap negatif sering dipamerkan segelintir warganet, Nam Ron menyarankan undang-undang baru diwujudkan bagi mengawal pihak yang menyalahgunakan media sosial.

“Bagi saya, benda (kecaman) tu tak sihat, tak bagus untuk sosiobudaya kita. Inilah masalah netizen. Mereka semakin berani berkomentar.

“Selalunya tak fikir panjang sebab semua berada di hujung jari. Kadang-kala ada orang belum terbukti bersalah tapi mereka dah hukum dengan kata-kata,” katanya.

Nam Ron ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Warkah di sebuah kompleks beli-belah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya tadi.

Pemilik nama sebenar Shahili Abdan itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan rakaman klip video berjudul “Pelakon Lelaki Pukul Bekas Tunang” yang dikongsikan melalui akaun Instagram miliknya 29 Julai lalu.

“Kadang-kadang lelaki apabila berkawan dengan lelaki lain, ada ikatan yang membuatkan mereka jadi sangat akrab.

“Tapi tidak semestinya mereka ada hubungan songsang. Tidak semestinya mereka semburit. Jangan kita mudah sangat percaya dengan berita sebegini.

“Polis pun sedang menyiasat,” katanya dalam rakaman tersebut.

Nam Ron berkongsi pandangannya itu selepas media melaporkan pelakon Syafie Naswip ditahan selepas didakwa memukul aktres Aishah Azman yang pada ketika itu merupakan tunangnya.

Kejadian itu didakwa berlaku susulan Aishah meminta Syafie berhenti menjalin hubungan songsang dengan lelaki lain.

Pelakon Talentime terbabit ditahan polis pada 27 Julai lalu atas dakwaan mencederakan bekas tunangnya dan dibebaskan keesokan harinya.

Untuk rekod, Syafie dan Aishah mengikat tali pertunangan pada 7 April lalu dan mereka sepatutnya bernikah hujung tahun ini.

Mengulas lanjut, Nam Ron berkata, dia terbuka hati berkongsi pendapatnya dengan umum kerana beranggapan Syafie seorang pemuda yang jauh berbeza daripada tanggapan dilontarkan pengguna media sosial.

“Saya lihat dia belum dibuktikan bersalah. Saya dan dia belum pernah berkerja satu produksi, kami berkenalan di luar.

“Saya lihat dia seorang pemuda yang baik dan hormat pada orang tua. Pasti tuduhan sebegitu berat untuk ditanggung,” katanya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda