Penganggur ceroboh masuk rumah ibu Najib dipenjara, denda


shadow

Akibat menceroboh masuk rumah ibu Najib Razak pada Khamis lepas, seorang lelaki dihukum penjara seminggu dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Nur Akmal Azisham, 21, selepas dia mengaku bersalah melakukan pencerobohan dengan memasuki rumah Rahah Mohd Noah di Jalan Eaton, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada jam 9.46 malam, 15 Ogos lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh – yang tidak bekerja itu – menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia tangkap pada 15 Ogos. Dia berdepan hukuman penjara tambahan selama tiga bulan lagi jika gagal membayar denda.

Muhammad Nukr Akmal dituduh mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Ketika ditanya majistret mengapa menceroboh masuk ke rumah ibu bekas perdana menteri itu, Muhammad Nur Akmal berkata dia tidak tahu dan tidak ingat.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Syakirin Yaccob memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama.

Bagaimanapun Muhammad Nur Akmal yang tidak diwakili peguam merayu dendanya diringankan atas alasan dia masih bujang.

Tertuduh akan menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang.

– Bernama


Tinggalkan komen anda