MENJUAL sambil beramal. Itu sikap murni ditunjukkan peniaga wanita yang memberikan kek secara percuma kepada pelanggan yang menyambut hari lahir mereka.
Isma Yaacob, 37, mengakui memberikan kek itu seikhlas hati dan berasa gembira apabila melihat riak wajah pelanggan yang membawa pulang kek secara percuma.
Selain memberikan kek percuma, Isma turut menjual kek dengan harga hanya RM10 sahaja.
Premisnya beroperasi di Batu 9 Jalan Pantai di sini, yang turut digelar ‘kedai kek viral’ itu menerima lebih 200 pelanggan setiap hari.
Menurut Isma, pelanggan yang mahu mendapatkan kek percuma perlu menunjukkan MyKad dan mereka akan diberi sebiji kek seberat setengah kilogram untuk menyambut hari lahir bersama keluarga tersayang.
“Ia hadiah ikhlas saya buat pelanggan dan sebagai satu cara saya bersedekah kepada mereka yang tidak kemampuan untuk membeli kek bagi meraikan hari lahir.
“Sebelum ini, saya hanya menyewa rumah di Taman Bukit Perdana untuk memproses dan menjual kek.
“Namun, disebabkan permintaan yang tinggi, saya terpaksa menyewa rumah kedai bagi menampung jumlah pembuatan serta memudahkan pelanggan datang ke kedai.
“Mungkin ia berkat niat sedekah saya menyebabkan kedai sentiasa mendapat sambutan orang ramai,” katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

PEKERJA kedai kek Isma Bakery membuat tempahan kek. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Isma berkata, perniagaannya itu dimulakan secara tidak sengaja selepas mengikuti kursus membuat kek di Kedah, tiga tahun lalu.
Katanya, minat terhadap pembuatan kek menyebabkan dia mengikuti kursus itu dan mula menerima tempahan daripada rakan.
“Pada mulanya saya beri kek percuma kepada rakan dan kenalan yang menyambut hari lahir. Saya tidak sangka perbuatan saya itu ditularkan dan mendapat permintaan daripada orang luar.
“Niat saya hanya mahu berkongsi rezeki. Saya rasa puas apabila pelanggan gembira selepas makan kek saya,” katanya yang turut mendapat sokongan suami, Syukri Ismail, 47.
-myMetro
Tinggalkan komen anda