Pemuda PAS ikut perangai Trump


shadow

Saya ingin mengulas kenyataan dangkal dan berbaur cauvinis oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari. Saranan beliau agar Lim Kit Siang, seorang negarawan meninggalkan negara ini perlu dikritik sekeras-kerasnya.

Saudara Kit Siang merupakan seorang warganegara Malaysia. Tidak pernah timbul sekelumit keraguan mengenai hal itu.

Siapa Fadhli untuk menghina dan menghalau seorang negarawan yang lahir di tanah ini? Kit Siang telah habiskan lebih separuh abad daripada usia beliau berjuang dalam sepak terajang politik, malah dihumban ke jeriji besi ISA dua kali. 

Semua ini Kit Siang tempuhi demi aspirasi Malaysia untuk semua rakyat Malaysiam agar semua rakyat Malaysia, termasuklah Timbalan Ketua Pemuda PAS yang setahun jagung itu sendiri, dapat menikmati kesejahteraan hidup dan kemakmuran bersama.Iklan

Selama lebih lima dekad, Kit Siang telah berjuang mempertahankan demokrasi dan menjunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. 

Atas kapasiti selaku ahli parlimen 12 penggal yang pernah berkhidmat di lima negeri dalam Persekutuan Malaysia, Kit Siang berhak untuk memberikan pandangannya terhadap Dr Zakir Naik, yang kini dikehendaki oleh negara asalnya iaitu India. 

Kita juga sedia maklum bahawa cadangan Kit Siang terhadap keberadaan Dr Zakir Naik ini bukanlah cadangan beliau secara bersendirian. 

Sembang kencang

Perangai hodoh Pemuda PAS ini tiada bezanya dengan kenyataan rasis Presiden AS Donald Trump yang mengugut menghalau beberapa wakil rakyat di AS antaranya Ilham Omar dan Rashida Tlaib walaupun mereka adalah patriot yang cintakan negara mereka. 

Walaupun tidak menghairankan sekiranya benar, adakah Pemuda PAS juga ingin mengikut jejak perangai cauvinis dan dangkal Trump yang pernah anjurkan ‘Muslim Ban’?

Inilah dia perangai sesetengah pemimpin PAS. Sembang kencang nak halau orang, tapi asam garam perjuangan pun belum merasa. Sibuk nak bela orang diseru ke kamar mahkamah, tetapi lari sebelum sempat dibicarakan. 

Tak ubah seperti Donald Trump juga, lari dari perkhidmatan ketenteraan atas alasan kurang upaya.

Sejak Januari 2018, kerajaan India telah mengemukakan permohonan rasmi untuk membawa pulang Dr Zakir Naik bagi berhadapan dengan dakwaan penggubahan wang haram berjumlah RM115.66 juta. 

Adalah tidak wajar untuk sebuah negara berdaulat seperti Malaysia untuk terperangkap di dalam situasi seperti ini. Sekiranya benar Dr Zakir Naik tidak bersalah, beliau seharusnya pulang ke India secara sukarela bagi membersihkan nama baiknya tanpa melibatkan Malaysia.

Maka, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahmad Fadhli ini adalah sangat tidak wajar. Beliau sepatutnya merujuk kembali kepada kenyataan yang telah dikeluarkan oleh perdana menteri mengenai isu ini. 

Apa yang jelas, kita juga mahukan satu perbicaraan yang adil untuk sesiapa sahaja, termasuklah Dr Zakir Naik. Beliau perlu diberikan peluang dan ruang bagi membersihkan namanya. 

Adalah penting untuk memahami kedudukan beliau sebagai tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Hak-hak ini adalah selaras dengan prinsip asas undang-undang jenayah iaitu innocent until proven guilty. Prinsip ini menjadi teras kepada sistem keadilan di seluruh dunia. 

Sebesar mana pun kesalahan yang dituduh, seseorang itu perlu diberi ruang untuk membela diri di mahkamah. Dan dalam kes Dr Zakir Naik ini, ruang tersebut tersedia untuk beliau di India dan bukanlah di mana-mana negara lain termasuklah Malaysia.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda