Ola Bola pupuk semangat patriotik dengan pementasan percuma


shadow

Demi menyemarakkan lagi semangat patriotik, teater OlaBola The Musicalsekali lagi akan membuka tirai persembahannya sempena sambutan Hari Kebangsaan bermula 31 Ogos ini.

Menurut penerbit dan pengarahnya Tiara Jacquelina, pementasan kali ini dibuat secara percuma dan diberi judul Ola Bola Merdeka Tour bakal menjelajah ke empat negeri iaitu Pulau Pinang, Pahang, Sarawak dan Sabah.

“Kami menerima maklum balas menyatakan ramai peminat terkilan kerana tidak berpeluang untuk menyaksikan teater ini disebabkan mereka tinggal di luar Kuala Lumpur.

“Bagi yang tak dapat menonton, ia sama ada mereka kurang berkemampuan untuk datang ke ibu kota kerana lokasi diadakan terlalu jauh, tidak berkesempatan atau pelbagai kekangan lain,” katanya ketika ditemui di sidang media pengumuman pementasan berkenaan di Pusat Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur hari ini.

Untuk rekod, OlaBola The Musical telah dipentaskan sebanyak dua musim di Istana Budaya.

Teater yang dibawakan oleh Enfiniti (M) Sdn Bhd pernah membolot lapan daripada 12 kategori di Anugerah Boh Caremonian ke-16, antaranya Persembahan Terbaik Watak Utama, Arahan Terbaik dan anugerah utama iaitu Terbaik 2018.

Tiara Jacquelina

OlaBola Merdeka Tour dijangka memulakan jelajah di Majestic Theatre, Pulau Pinang pada 31 Ogos, Stadium Perpaduan Kuching (6 – 8 September), Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian, Kota Kinabalu, Sabah (16 September) serta melabuhkan tirainya di Auditorium Darul Makmur, RTM Pahang di Kuantan (21 September).

Ia menampilkan barisan pelakon seperti Altimet, Nabila Huda, Iedil Putra, Brian Chan, Tony Eusoff dan Luqman Hafidz.

Ola Bola Merdeka Tour menampilkan barisan pelakon seperti Altimet, Nabila Huda, Iedil Putra, Brian Chan, Tony Eusoff dan Luqman Hafidz

Kata Tiara lagi, pihaknya berusaha mencari penaja, rakan usaha sama selain mengatur pertemuan dengan kerajaan negeri bagi memenuhi permintaan membuat pementasan di empat negeri itu.

“Cabaran terbesar kami adalah membawakan Ola Bola Merdeka Tour ke Sabah dan Sarawak.

“Namun, selepas mendapati kos semua dapat ditampung, kami berasa lega kerana dapat memaparkan kisah yang mengetengahkan mesej patriotik ni secara percuma,” katanya.

Tiara berkata peminat di Kuching dijangka dapat menonton persembahan penuh manakala di Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuantan Ola Bola Merdeka Tour akan dipentaskan dalam bentuk showcase iaitu selama sejam.

“Untuk versi showcase, ia dibuat versi tema Ola Bola I Cover You yang banyak memfokuskan pada perjalanan jatuh bangun Harimau Malaya.

“Persembahan penuh pula akan berlangsung selama 2 jam setengah, sama seperti di Istana Budaya,” katanya lagi.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda