Nooryana dituntut bayar cukai RM10.3 juta


shadow

KERAJAAN Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menuntut anak perempuan bekas Perdana Menteri, Nooryana Najwa Najib, 31, membayar cukai pendapatan dari 2011 hingga 2017 berjumlah lebih RM10.3 juta.

Kerajaan memfailkan saman itu pada 24 Julai lalu dengan menamakan anak Datuk Seri Najib Razak itu sebagai defendan bagi menuntut beliau membayar cukai berjumlah RM10,335,292.36.

Pengurusan kes itu ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, S S Malini Anne pada 12 September depan.

Berdasarkan penyataan tuntutan, cukai taksiran dikenakan bagi 2011 hingga 2017 adalah berjumlah RM2,430,694.74; RM26,613.24; RM6,011,957.64; RM271,832.92; RM48,526.98; RM137,595.21 dan RM21,084.39.

Oleh kerana defendan gagal membayar semua cukai itu dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian, kenaikan cukai sebanyak 10 peratus dikenakan seperti ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Kenaikan 10 peratus yang dikenakan adalah sebanyak RM243,069.47; RM2,661.32; RM601,195.76; RM27,183.29; RM4,852.69, RM13,759.52 dan RM2,108.43.

Defendan seterusnya masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan dan kenaikan dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan, oleh itu kenaikan cukai lima peratus lagi dikenakan.

Ia masing-masing sebanyak RM133,688.21; RM1,463.72; RM330,657.67; RM14,950.81, RM2,668.98; RM7,567.73 dan RM1,159.64.

Plaintif mendakwa mereka berhak mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan masih terhutang serta kenaikan dikenakan terhadap defendan sebagai suatu cukai genap masanya dan kena dibayar.

Menurut plaintif, sehingga kini, defendan masih gagal membayar semua amaun cukai pendapatan itu.

Plaintif turut menuntut faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga jumlah dipersetujui dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

-myMetro

Tinggalkan komen anda