Ngeri ‘disapa’ tedung


shadow

BELUM pun hilang penat mendaki Gunung Tahan, penulis menerima pelawaan rakan untuk menemaninya menawan dua gunung sekali gus iaitu Gunung Korbu (2,187 meter) dan Gunung Gayong (2,173 meter).

Pendakian ini dikatakan yang paling mencabar mental. Kami bermula awal pagi dengan berbekalkan lampu kepala dan meneruskan pendakian tanpa mengetahui bahaya atau risiko yang bakal ditempuhi.

Kali ini pendakian agak menjengkelkan apabila penulis diserang lintah komando sepanjang perjalanan dan sebaik sampai di Last Waterpoint, beberapa rakan penulis mengalami kecederaan otot dan kepenatan melampau.

Ini membuatkan mental penulis ‘koyak’ dan sedikit terganggu kerana memikirkan apa pula nasib diri sendiri nanti.

Pendakian yang diteruskan selepas itu semakin menegak dan tiada kawasan landai selama empat jam. Kami tiba di laluan pendakian paling mencabar fizikal iaitu yang menggunakan tangga bomba.

Kami perlu menempuh 14 anak tangga sebelum sampai ke Puncak Tipu untuk berehat. Paling memenatkan ialah di Chuban kerana ‘pacaknya’ terlalu panjang dan tinggi.

Namun kami berjaya juga menawan Puncak Korbu dan berehat sebentar untuk meneruskan pendakian ke Puncak Gayong pula.

Sepanjang ke Puncak Gayung, mata terpukau melihat lumut yang membaluti setiap pokok. Penulis tidak melepaskan peluang merakamkan gambar di situ.

Meskipun agak perlahan disebabkan kasut beberapa kali terbenam dalam lumpur tebal, kami berjaya menawan puncak Gunung Gayung dengan selamat tanpa halangan besar.

Semakin banyak gunung ditawan, semakin berkobar-kobar semangat untuk menakluk baki G7 yang ada.

Penulis bertanya kepada rakan jika ada yang menganjurkan perjalanan untuk ke puncak Yong Yap tetapi yang ada hanya membabitkan ekspedisi menawan tiga puncak sekali gus.

TIBA di puncak Gunung Yong Yap pada waktu malam.

Tiga puncak terbabit adalah Gunung Yong Yap, Bubu dan Tok Nenek (YYBTN) yang mengambil masa 36 jam.

“Ini kerja gila,” detik hati penulis. Untuk menawan tiga puncak bukan perkara remeh kerana ia memerlukan persiapan rapi.

Penulis memulakan pendakian untuk menawan puncak Gunung Tok Nenek yang sedikit mencabar kerana pendakian agak menegak, panjang dan berbatu.

Sampai sahaja di puncak, ternyata betul apa yang dikatakan pendaki sebelum ini kerana ia mempunyai pemandangan 360 darjah yang cukup indah.

Selepas bergambar kami menuju ke puncak Gunung Bubu yang mengambil masa empat jam. Di puncaknya, angin bertiup kencang dan agak sejuk.

Kami tidak sempat berehat lama dan meneruskan pendakian ke Yong Yap pada waktu malam. Kurang 30 minit untuk sampai ke puncak, kami dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan ular tedung selar di tengah perjalanan.

Kami mengambil masa 15 minit untuk menghalau ular berkenaan. Penulis juga mengalami muntah dan kejang yang agak teruk namun tetap sampai ke puncak dalam keadaan cuaca dingin dan hujan.

Selepas empat bulan tidak mendaki, penulis mengambil keputusan menghabiskan G7 yang keenam dan ketujuh iaitu Gunung Chamah dan Ulu Sepat (CUS).

Kali ini peserta agak ramai iaitu 18 orang dan pendakian memakan masa agak panjang iaitu tujuh hari enam malam.

Pastinya pendakian ini memerlukan stamina yang kuat dan mahu tidak mahu memaksa kami membuat persiapan secukupnya.

Tambah mencabar, beg kami rata-ratanya mempunyai berat antara 25 hingga 30 kilogram (kg) bagi memastikan bekalan makanan cukup untuk tujuh hari.

Tiba hari pertama ekspedisi, kami berkumpul di Stesen Bas Gua Musang untuk agihan ‘bekalan makanan’ sebelum menaiki pacuan empat roda untuk sampai ke pusat semak kami di Kem Simpur, Kelantan.

Cuaca agak panas dan meletihkan. Kami bermalam di Kem Rekom sebelum memulakan perjalanan seawal pagi keesokan harinya.

Hujan mengiringi kami sepanjang pendakian dan sampai di puncak Tipu, penulis dan dua rakan tersesat jalan kerana mengikut jejak gajah.

Alhamdulillah, kami menjumpai laluan asal dengan bantuan penunjuk arah yang ditemui kemudian. Laluan seperti roller coster sepanjang pendakian dengan keadaan sedikit mencabar di sungai kerana terpaksa menunggu kepala air kembali tenang untuk melintas pulang ke tapak perkhemahan.

Pada hari berikutnya, kami bergerak dari Kem Sungai Lepir untuk menawan gunung yang terakhir iaitu Gunung Ulu Sepat, Perak.

Tiada halangan yang terlalu sukar untuk menawan gunung ini dan selepas tiba di Junction Y, kami hanya mengambil masa 10 minit untuk sampai ke puncak.

Penulis seperti tidak percaya dapat menghabiskan pendakian semua gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia dan ketika pulang, kami sempat singgah di perkampungan Orang Asli di Kem Lenweng, Perak untuk memberi makanan dan sedikit ubat-ubatan.

Akhirnya kami meneruskan perjalanan pulang dengan menaiki bot di Tasik Banding, Gerik, Perak dengan disajikan pemandangan yang indah.

Pengalaman menawan G7 akan diabadikan dalam benak penulis sampai bila-bila dan jika ada kesempatan, ingin rasanya hendak menyertai ekspedisi sebegini lagi.

  • myMetro

Tinggalkan komen anda