Nenek tukang kasut


shadow

KEHIDUPAN ibarat sehelai kanvas yang dicorakkan. Ada putih, hitam, merah dan jingga. Sama seperti jalan hidup yang tidak pernah sama, kadangkala suka dan kadangkala duka. Dugaan hidup yang datang bersilih ganti mematangkan kehidupan manusia. Benar, setiap insan itu perlu kuat dalam meneroka liku-liku kehidupan.

Hidup sebagai seorang ibu tunggal memerlukan wanita ini terus bersemangat dan bijak mencari ruang serta peluang dalam memastikan kehidupannya dapat diteruskan dengan sebaik mungkin.

Memilih kerjaya sebagai tukang kasut yang dipelopori lelaki membuatkan Rasilah Salleh, 63, wajar dicontohi. Semangat dan kesungguhannya dalam mencari rezeki halal walaupun pada usia emas itu sungguh luar biasa.

Membuka bicara, Rasilah berkata, hidup sebagai seorang ibu tunggal sejak 20 tahun lalu dan kepayahan dalam membesarkan tiga cahaya matanya membuatkan jiwanya kuat.

“Dalam hidup kita bukan saja perlu rajin malah perlu bijak mencari kelainan yang dapat membezakan kita dengan yang lain. Saya tekad memilih kerjaya sebagai tukang kasut kerana bidang ini sinonim dengan lelaki.

“Sebenarnya saya baru tiga tahun menawarkan khidmat di kaki lima premis rumah kedai di Jalan Selamat, Alor Setar Kedah bersama tukang kasut lain yang kebanyakannya lelaki,” katanya.

Menurutnya, selepas bercerai 20 tahun lalu, dia menjual beraneka jenis air minuman di stesen bas lama Jalan Langgar, Alor Setar dengan hasil jualan kira-kira RM40 sehari.

“Ketika itu kehidupan saya sangat susah namun demi kelangsungan hidup dan memikirkan nasib anak, saya kuatkan semangat untuk terus berniaga air hinggalah tiga tahun lalu.

“Saya mengambil masa enam bulan belajar selok-belok kerja membaiki kasut daripada anak sulung, Mohd Nasir Bahadul yang juga seorang tukang kasut. Syukur, kini saya semakin mahir dan sudah mempunyai pelanggan tetap,” ujarnya.

Kata Rasilah, walaupun kerjaya itu tidaklah menjanjikan pendapatan lumayan, dia bersyukur kerana mampu menyara kehidupannya.

“Sudah menjadi rutin harian saya keluar bekerja pada jam 10 pagi dengan menaiki motosikal dan mula menjahit kasut sehinggalah jam 6 petang.

BERHUJAN dan berpanas namun Rasilah tetap gigih bekerja mencari rezeki.

“Menjadi tukang kasut wanita ini ada kelebihannya tersendiri terutama lebih mudah mendapat perhatian pelanggan, mungkin juga disebabkan saya juga sudah berusia malah ada pelanggan yang tidak mengambil duit baki kerana niat untuk memberi sedekah kepada saya,” katanya.

Menurutnya, sekiranya cuaca baik, dia mampu meraih pendapatan kira-kira RM100 sehari, namun apabila cuaca tidak baik hanya mampu memperoleh RM40.

“Saya tidak bersendirian kerana mempunyai seorang pembantu yang juga jiran terdekat iaitu Faridah Rejab. Wang pendapatan yang diterima setiap hari itu akan saya bahagikan dengannya kerana dia banyak membantu saya.

“Kami di sini saling bantu membantu. Jika banyak kasut yang perlu dijahit, saya akan minta pelanggan mendapatkan khidmat tukang kasut sebelah, begitu juga sebaliknya. Di sini, kami bersaing secara sihat kerana semuanya baik-baik dan saling membantu,” katanya yang mempunyai empat cucu.

Bercerita lanjut, Rasilah yang lebih mesra dipanggil Mak Cik Ilah berkata, dia kini gembira dengan kerjayanya sebagai tukang kasut walaupun terpaksa duduk di kaki lima dalam keadaan cuaca tidak menentu.

“Namun atas faktor usia, saya tidak mampu mengelak daripada kerap demam dan kurang sihat. Baru-baru ini saya diserang demam teruk yang menyebabkan saya tidak dapat bekerja selama seminggu.

“Sebaik saja demam kebah, saya gagahkan diri menunggang motosikal untuk membuka gerai. Macam-macam yang saya fikirkan terutama tidak mempunyai pendapatan selama seminggu,” katanya.

Tambahnya, walaupun keadaan kesihatan yang kurang baik namun dia tetap berusaha sedaya mungkin untuk mencari rezeki.

“Dalam berdepan satu persatu dugaan hidup ini, saya sangat mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah mengerjakan ibadat umrah dan haji walaupun pendapatan yang diperoleh hanya cukup-cukup makan bagi menampung kehidupan saya selain sewa rumah RM200 sebulan.

“Selagi Allah SWT masih pinjamkan kudrat, saya akan terus bekerja menjahit kasut walaupun pada usia 70 tahun atau lebih. Saya tidak kisah asalkan dapat mencari rezeki halal. Soal rezeki ini kita tidak tahu, yang penting sebagai hamba kita perlu sentiasa berdoa dan tidak putus harapan. Walaupun hanya mampu simpan beberapa puluh ringgit sebulan, saya tetap bersyukur,” ujarnya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda