Musa gesa polis kuatkuasakan Sosma kerana ISA sudah tiada


shadow

Bekas ketua polis negara, Musa Hassan menggesa pihak polis menguatkuasakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) bagi membendung gejala negatif ketika ini seperti isu perkauman.

Menurutnya Akta Keselamatan Negeri (ISA) sudah dimansuhkan dan kini hanya Sosma diharapkan dapat ‘menjaga keselamatan negara’.

“Yang ada Sosma, (jadi) polis kena tegaskan untuk jaga keselamatan negara, keadaan semasa,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau juga berpandangan ISA tidak sepatutnya dimansuhkan, namun kini sukar untuk akta itu dikembalikan semula.

“Tetapi kalaulah diwujudkan semula boleh ke? Itu masalahnya. Cakap senang tapi parlimen luluskan atau tidak.

“Realiti agak sukar benda kita sudah buang nak dapat balik susahlah,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Penaja dan Pengasas Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ibrahim Ali dilapor mencadangkan agar ISA dikuatkuasakan semula bagi membendung isu ketegangan kaum.

Kata Ibrahim, undang-undang sedia ada hanya boleh mengambil tindakan selepas negara kucar-kacir dan bukannya bertujuan untuk mencegah.

Ibrahim juga berkata ISA membolehkan tindakan dikenakan ke atas mereka yang menjadi dalang atau bersikap ‘baling batu sembunyi tangan’ untuk mencetuskan ketegangan dan rusuhan kaum di Malaysia.

“Saya percaya apa berlaku hari ini, kebiadaban, keangkuhan dan sifat kurang ajar sesetengah pihak adalah disebabkan ISA telah dimansuhkan.

“Referendum rakyat diperlukan sama ada mahu kembalikan ISA atau tidak.

“Saya percaya majoriti akan menyokong kerana tiada siapa yang nak lihat negara huru-hara melainkan golongan minoriti. Bawa usul ini ke persidangan parlimen akan datang,” kata Ibrahim.

ISA 1960 dimansuhkan pada 31 Julai 2012 dan diganti dengan Sosma yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 17 April 2012.

Sosma diberikan perkenan Diraja pada 18 Jun 2012 dan diwartakan pada 22 Jun 2012.

Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya lalu berjanji memansuhkan undang-undang drakonian atau peruntukan-peruntukan zalim dalam beberapa akta termasuk Sosma yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Selain Sosma undang-undang lain yang dipertikaikan ialah Akta Perhimpunan Aman, Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca), Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP).-Mkini

Tinggalkan komen anda