Mufti Selangor: Teksi motor boleh undang fitnah


shadow

Perkhidmatan teksi motor yang diluluskan kabinet semalam disifatkan sebagai tidak Islamik oleh Mufti Selangor, Mohd Tamyes Abd Wahid.

Kata Mohd Tamyes jika perkhidmatan itu digunakan oleh seorang wanita dengan penunggangnya ialah lelaki bukan mahram, ia boleh mengundang fitnah.

Menurutnya, bagi mengelakkan keadaan fitnah berkenaan, adalah lebih elok ditiadakan perkhidmatan tersebut.

“Tak sesuai lelaki dan perempuan yang bukan mahram membonceng motosikal yang sama.

“Mungkin penunggangnya lelaki dan pemboncengnya perempuan atau sebaliknya. Apa halnya kena ada situasi begitu?

“Keadaan itu jelas tidak Islamik dan tak sopan. Naik motosikal berdua bukan muhrim, tak diharuskan,” kataya seperti dipetik Sinar Online hari ini.

Semalam Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, cadangannya untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal di negara ini mendapat lampu hijau daripada kabinet.

Kata Syed Saddiq, perkhidmatan itu bukan sahaja mengelakkan golongan muda terdedah kepada aktiviti lumba haram tetapi secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan terbabit.

Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Belia dan Sukan diarah untuk melaksanakan kajian terperinci perkhidmatan tersebut, termasuk dari aspek peraturan keselamatan dan pekerjaan.

Kata Mohd Tamyes, kerajaan wajar memikirkan cara lain yang lebih baik bagi mengelakkan masalah berkenaan timbul.

Sementara itu Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk memutuskan pelaksanaan perkhidmatan tersebut.

“Terpulang kepada pihak berkuasa, saya tidak ada fatwa tentang perkara ini,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda