MTUC: K’jaan perlu ambil serius laporan kadar kemiskinan PBB


shadow

Kerajaan perlu mengambil serius laporan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan kadar kemiskinan di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding kadar rasmi iaitu 0.4 peratus, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata, kerajaan tidak harus menutup kebenaran tetapi cuba menangani perkara itu.

“Jika perbezaan kadar PBB itu hanya satu atau dua peratus berbanding 0.4 peratus di bawah Garis Pendapatan Kemiskinan (PLI) yang diguna pakai oleh kerajaan, maka angka kerajaan itu boleh diterima.

“Tetapi hasil kajian Pelapor Khas PBB itu mendedahkan tahap kemiskinan ketara di Malaysia adalah antara 15%-20%. Ini bermakna sekurang-kurangnya lima juta pekerja Malaysia hidup di bawah paras kemiskinan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut laporan PBB itu, Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.

Laporan itu susulan lawatan sebelas hari Alston ke pangsapuri kos rendah, pusat orang kurang upaya, komuniti orang asli dan sekolah di Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah, dan Kelantan.

Garis Pendapatan Kemiskinan (PLI) menetapkan pendapatan RM980 sebulan bagi setiap isi rumah untuk garis kemiskinan nasional.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengkaji laporan itu selain sedia menyemak semula kaedah menetapkan kadar kemiskinan yang digunakan sebelum ini.

Menyambut baik kesediaan itu, Solomon berkata kajian itu perlu merangkumi kesan gaji rendah ke atas kadar kemiskinan.

Katanya, gaji minimum RM1,10 sebulan ternyata tidak memadai dan ia harus dinaikkan secara ketara kepada jumlah yang mampu menampung keperluan sara hidup.

“Kerajaan mesti berhenti memberi alasan kononnya langkah sedemikian hanya akan menambah inflasi. Hujah ini yang sering diguna oleh majikan tidak berasas sama sekali,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan menaikkan kadar itu dalam Belanjawan 2020 yang bakal dibentang beberapa bulan lagi.

  • malaysiakini


Tinggalkan komen anda