Menteri: Pelarian perlu dibenarkan bekerja


shadow

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mengabaikan janji manifestonya untuk membenarkan pelarian yang berada di negara ini bekerja, kata Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.

“Kerajaan belum membuat keputusan muktamad dalam soal membenarkan pelarian dari luar negara untuk bekerja di Malaysia. Itulah keputusannya setakat ini.

“Tetapi ada suara meminta kerajaan menimbang semula, dan kita tidak patut mengabaikan apa yang telah disebut dalam manifesto PH sendiri.

“Jika anda tanya saya secara peribadi, ya saya fikir kita patut benarkan mereka bekerja di sini, sekurang-kurangnya sehingga mereka berpindah ke negara ketiga,” katanya.Iklan

M Kulasegaran

Beliau ditanya berkenaan hak pelarian Rohingya untuk bekerja ketika sesi soal jawab di sidang antipemerdagangan manusia di Kuala Lumpur hari ini.

Janji 35 dalam manifesto PH menyatakan kerajaan akan “mengabsahkan status mereka yang mempunyai kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian dan memberi kebenaran untuk mereka bekerja”.

Menjawab soalan lain, Kulasegaran berkata anak pelarian patut dibenarkan mendapat pendidikan asas di sekolah biasa.

“Kita telah melihat anak-anak pelarian tidak mendapat (pendidikan) asas, ini pastinya satu penafian terhadap hak asasi.

“Saya berharap selepas pelarian dibenarkan untuk bekerja, kerajaan akan berusaha ke arah membolehkan anak-anak mereka ke sekolah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Kulasegaran dalam ucapannya berkata kerajaan merancang untuk memasukkan isu buruh paksa dalam pekerjaan melalui pindaan terhadap Akta Pekerja 1955.

“tertakluk kepada kelulusan kabinet, rang undang-undang (pindaan) dijadual dibentang di Parlimen tahun ini,” katanya.

Mengikut pindaan itu, katanya lagi, majikan perlu memiliki lesen sebelum mengambil pekerja asing.

“Inisiatif ini diambil kerana tiada peruntukan khusus dalam mana-mana akta untuk menangani isu buruh paksa ini,” katanya lagi.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda