‘MB…tolonglah kami’


shadow

EMPAT petani yang diarahkan keluar dari tanah seluas 22 hektar diusahakan mereka di Kuala Kuang, Chemor dekat Ipoh memohon campur tangan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu agar dapat kekal bertani di situ.

Wakil petani berkenaan, Wong Seng, 70, berkata, mereka menerima surat peguam dengan menyatakan mereka adalah penceroboh dan diminta mengosongkan tanah terbabit sebelum 1 September ini.

Dia yang mengusahakan tanaman jagung, kelapa, durian dan penternakan ikan tilapia di kawasan seluas 3.2 hektar berkata, surat itu juga menyatakan tindakan guaman akan diambil terhadap mereka jika enggan mematuhi arahan itu.

“Kami pergi ke Pejabat Daerah dan Tanah Kinta serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mengetahui apa yang berlaku dan didapati tanah itu asalnya milik kerajaan tetapi sudah diluluskan kepada sebuah syarikat pemaju pada 2007.

“Sekarang syarikat itu ingin membangunkan tanah itu untuk projek perumahan,” katanya.

Wong berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum mengenai masalah berkenaan ke Pejabat Menteri Besar.

Memorandum itu kemudiannya diterima pegawai tadbir pejabat berkenaan, Shaza Mohd Sham di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Wong berkata, dia dan empat lagi petani iaitu Yap Yew Keen, Choo Boon Leong dan Wong Ah Koo, sudah lama berkebun termasuk mendirikan rumah dan tinggal di situ.

Bagaimanapun, katanya, ketika zaman darurat berikutan ancaman Komunis, mereka dipindahkan ke Kampung Baru Kuala Kuang tetapi dibenarkan meneruskan aktiviti pertanian di tanah berkenaan ketika siang.

-myMetro

Tinggalkan komen anda