PERJALANAN seorang pelajar lelaki ke sekolah berakhir tragedi selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda di Kilometer (KM) 38 Jalan Teluk Intan-Klang, berhampiran Assam Jawa, Kuala Selangor, hari ini.
Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa, Ahmad Rafiq Darwisy Ahmadrunizam, 13, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Manakala pemandu Toyota Hilux berusia 45 tahun yang melanggar mangsa tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, siasatan awal mendapati Toyota Hilux berkenaan datang dari arah Klang menuju ke Teluk Intan.
“Apabila sampai di lokasi berkenaan, pemandu itu dipercayai terlanggar mangsa yang pada ketika itu sedang melintas jalan.
“Selepas dilanggar, mangsa tercampak kira-kira 20 meter sebelum disahkan maut di tempat kejadian,” katanya.
Md Asri berkata, ketika kejadian kawasan kemalangan adalah jalan lurus dua lorong dan keadaan jalan kering serta rata.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
-myMetro
Tinggalkan komen anda