Manfaat limau purut


shadow

SESEKALI bercuti, ambillah kesempatan merehatkan kulit wajah daripada sebarang penggunaan produk kosmetik mahupun bahan kimia yang terkandung dalam set penjagaan muka.

Seperti diri, wajah juga mahu merasai nikmat bebas daripada solekan. Ini terutama selepas saban hari dicalit dengan pelbagai jenis krim, serum, bedak asas dan pembayang.

Pilih hari yang sesuai. Pastikan anda santai di rumah tanpa gangguan tetamu, bebas daripada sebarang perancangan yang memerlukan gerak kerja yang banyak.

Kemudian, buat sedikit kajian untuk memudahkan pemilihan rawatan bersesuaian kulit. Untuk keselesaan, pastikan ruang bilik dalam keadaan bersih dan nyaman. Anda juga tidak perlu menghidupkan pendingin hawa untuk nikmat rehat yang sebenar.

Sebagai permulaan, bersihkan kulit dengan menggunakan air suam yang diperah dengan sedikit lemon. Urut wajah dengan lembut menggunakan hampas atau kulit lemon. Selain lemon, anda juga boleh menggantikan dengan limau purut.

Mungkin ramai yang sudah tahu bahawa lemon memberi banyak manfaat kepada kulit wajah. Ia boleh membantu membersihkan, memelihara kelembapan, menanggalkan sel kulit mati, mengecilkan pori, menegangkan, mencerahkan, mengubati jerawat dan merawat kulit berminyak.

Manakala limau purut yang popular sebagai perawat kelemumur sebenarnya turut membawa manfaat besar untuk kulit wajah. Lihat saja bagaimana perubatan tradisional banyak menggunakan limau purut untuk membersihkan tubuh dan menaikkan seri wajah.

Di kampung, limau purut dijadikan skrub wajah dan tubuh. Ia mampu menghaluskan kulit dan merawat luka kecil akibat gigitan serangga, kudis dan jerawat.

Wanita pada zaman dulu menganggap limau purut sebagai pencuci semula jadi kerana kandungan antiseptik dan antibakteria yang ada padanya.

Usai membersihkan wajah, bilas muka dengan air sejuk dan lap kering. Pilih pupur atau skrub berikut untuk rawatan wajah selama 15 minit dan bilas. Rasai perbezaan sebelum dan selepas merawat wajah.

INFO

PUPUR NASI

Bahan

– 3 sudu bubur nasi (suhu bilik)

– 3 sudu jus limau purut

PUPUR nasi untuk menegangkan kulit.

Cara-caranya

– Campurkan kedua-dua bahan dan gaul sekata.

– Sapu nipis ke wajah dalam gerakan jam.

– Biarkan kering selama 15 minit.

– Tanggalkan pupur yang kering dan bilas dengan air sejuk.

LIMAU purut membawa manfaat besar untuk kulit wajah.

SKRUB GULA

Bahan

– 1 sudu jus lemon

– 1 sudu gula

– 1 camca madu

SKRUB gula membersihkan wajah.

Cara-caranya

– Campurkan semua bahan dalam mangkuk dan gaul.

– Sental pada kulit wajah perlahan-lahan.

– Bilas dengan air suam, diikuti air sejuk.

-myMetro

Tinggalkan komen anda