Mahkamah serah kuasa arbitrari kepada pihak berkuasa agama, kata Suaram


shadow

Kumpulan hak asasi Suaram berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Sisters In Islam (SIS) untuk mendapatkan semakan kehakiman berhubung fatwa yang memutuskan pertubuhan itu sebagai “sesat” akan membuka pintu terhadap penyalahgunaan.

“Badan kehakiman sepatutnya menjadi penjaga hak asasi asas kerana ia tempat pertama dan terakhir di mana seseorang itu boleh mencabar terhadap pencabulan hak mereka,” kata Pengarah Eksekutif Suaram D Sevan dalam satu kenyataan hari ini.

“Dalam keputusan ini, keputusan mahkamah tinggi mengketepikan tanggungjawap mahkamah sebagai pelindung perlembagaan, dan menyerahkan kepada pihak berkuasa agama, kuasa yang luas dan sewenang-wenang berhubung hak asasi semua rakyat Malaysia.”

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Nordin Hassan menolak permohonan SIS untuk mendapatkan semakan kehakiman bagi mencabar fatwa berkenaan dengan kos RM10,000 atas alasan Jawatankuasa Fatwa Selangor telah mematuhi semua prosedur yang ditetapkan.

Malah, kata hakim itu, beliau mendapati fatwa dikeluarkan terhadap SIS tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah dan ia dihadkan oleh perlembagaan.

“Dengan keputusan ini, pihak berkuasa agama secara efektif diberi kuasa untuk mengharamkan sebarang penerbitan yang dianggap mereka menyinggung perasaan tafsiran masing-masing, dan mengharamkan setiap individu atau kelompok yang dianggap sesat,” kata Sevan.

Beliau menambah bahawa badan kehakiman mesti menyedari tugas mereka dan tidak menyerahkan perkara itu kepada Mahkamah Syariah dan pihak berkuasa agama.

Keputusan seperti itu, kata Sevan, akan menghantar isyarat yang salah bahawa dasar keagamaan mengatasi perlembagaan persekutuan.

SIS akan membawa keputusan mahkamah tinggi semalam itu ke mahkamah rayuan.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda