MAHB tak minta bantuan sukarelawan


shadow

MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) menyangkal dakwaan pihaknya meminta pertolongan orang awam untuk menjadi sukarelawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam usaha melancarkan perjalanan penumpang susulan isu gangguan teknikal sejak malam kelmarin.

MAHB berkata, poster berkenaan adalah untuk kegunaan kakitangan dalaman namun kini tular di media sosial.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di Instagram MAHB itu, pihaknya menerima banyak panggilan dari orang awam yang sudi menjadi sukarelawan ketika lapangan terbang berkenaan mengalami masalah teknikal.

“Kami menerima panggilan dari orang ramai yang sudi untuk membantu, terima kasih diucapkan atas kebimbangan dan usaha mereka.

“Walau bagaimanapun kami ingin meyakinkan orang ramai bahawa 1,000 petugas tambahan yang ditempatkan di lapangan terbang berkenaan adalah mencukupi.

“Lebih-lebih lagi lapangan terbang adalah kawasan keselamatan yang tinggi dan memerlukan semua yang bekerja di sini untuk mendapatkan pas keselamatan sah,” katanya.

Sehubungan itu, MAHB meminta orang awam tidak menelefon nombor yang tertera di dalam poster berkenaan kerana nombor itu digunakan untuk penyelarasan petugas.

“Sekali lagi kami berterima kasih atas keprihatinan orang ramai, mereka boleh mendapat kemas kini mengenai isu ini melalui laman sosial rasmi MAHB,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda