Lelaki pun mangsa rogol, gangguan seksual


shadow

ULASAN | Kaji selidik terbaru di United Kingdom (UK) menggesa perhatian diberikan terhadap “jenayah rogol tersembunyi” melibatkan mangsa daripada golongan lelaki.

Kaji selidik yang diterbitkan oleh Lancester University Law School di UK itu menyoal kira-kira 150 lelaki yang pernah berhadapan dengan “penembusan secara paksa” (forced penetration).

Contoh-contoh kes ‘penembusan paksa’ termasuk dalam situasi ketika lelaki dipaksa berhubungan seks tanpa kerelaan, atau dipaksa kerana diperas ugut oleh wanita.Iklan

Ia juga boleh berlaku akibat ancaman dari segi fizikal, emosi atau kewangan oleh pasangannya.

Kaji selidik itu menjelaskan bahawa lelaki yang berhadapan penembusan secara paksa juga merupakan mangsa jenayah rogol.

Walaupun tidak ada statistik tepat mengenai jumlah mangsa lelaki yang terlibat namun para penyelidik lebih berminat dengan kesannya terhadap kaum Adam.

Sebahagian besar lelaki yang diselidik mengatakan pasangan atau bekas pasangan mereka sering memaksa untuk melakukan hubungan seks – selalunya dalam kes-kes yang melibatkan keganasan domestik.

Kebanyakan lelaki yang ditemu bual bimbang aduan mereka tidak akan dipercayai dan masyarakat akan mempersoalkan bagaimana seorang lelaki boleh diperkosa sedangkan penetration berlaku terhadap wanita.

FBI, gambar hiasan

Pada 2012, pentadbiran presiden Barack Obama mengumumkan perluasan definisi rogol dalam bidang kuasa Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang meliputi serangan seksual dan rogol terhadap lelaki.

Sebelum itu sejak 1929, rogol di Amerika hanya didefinisikan sebagai “melakukan persetubuhan dengan wanita secara kekerasan dan secara paksa”.

Definisi itu hanya melibatkan lelaki melakukan persetubuhan dengan wanita tanpa persetujuan. Bagaimanapun sejak 2012 takrifan itu mula berubah.

Di sesetengah negara termasuk Malaysia sendiri rogol dibezakan dengan serangan seksual.

Rogol ditakrifkan sebagai perlakuan melibatkan penembusan zakar ke faraj, atau penembusan melibatkan zakar semata-mata, manakala perlakuan seksual tanpa kerelaan yang dilakukan wanita atau lelaki dipanggil serangan seksual.

Maka dalam apa keadaan sekalipun di negara ini wanita tidak boleh didakwa kerana merogol walaupun mereka mendesak pasangan melakukan hubungan intim secara paksa.

Pendapat yang dibungkam

Rabu minggu lalu, Senator PKR Mohd Imran Abd Hamid mencadangkan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi kaum lelaki daripada “tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol”.

Beliau dilapor berkata demikian di parlimen:

“Wujudkan satu akta gangguan seksual ke atas kaum lelaki akibat perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita yang boleh sebabkan kaum lelaki tergoda hingga boleh sebabkan perbuatan seperti sumbang mahram, rogol, meraba, pornografi dan sebagainya.

Pesara tentera laut itu memberitahu Dewan Negara, gesaan itu dibuat supaya golongan lelaki “selamat” dan seteruskan “negara jadi aman”.

Mohd Imran Abd Hamid 

Dalam ucapan tersebut Mohd Imran tidak mengatakan beliau menyokong rogol, namun kecaman terhadapnya daripada feminis, NGO dan ahli politik wanita membayangkan beliau menyalahkan wanita sebagai punca berlakunya kes rogol.

Presiden PKR Anwar Ibrahim yang pernah dua kali berdepan pertuduhan liwat, meminta cadangan Mohd Imran itu ditarik balik kerana dikatakan “tidak munasabah dan menghina golongan wanita”.

Akur dengan saranan itu, Mohd Imran menarik balik pendapatnya tanpa beliau diberi ruang untuk memberikan penjelasan apatah lagi diskusi dan perbincangan secara terbuka.

Bagaimanapun tidak cukup dengan itu, satu petisyen dilancarkan untuk menuntut beliau meletakkan jawatan sebagai senator, malah menggesa keahliannya dalam PKR digugurkan. Setakat atikel ini ditulis, 14,000 telah menandatangani petisyen itu.

Anehnya ia berlaku dalam suasana ‘Malaysia Baru’ yang diuar-uarkan menyokong kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat.

Rogol dan puncanya dari sudut jenayah

Sekurang-kurangnya ada dua isi utama yang cuba disampaikan Imran. Pertama beliau menyebut bahawa lelaki juga menjadi mangsa gangguan seksual oleh wanita, yang mana pendapat tersebut tidaklah salah sama sekali.

Kedua menurut Mohd Imran, perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita juga boleh menyebabkan kaum lelaki tergoda dan mendorong jenayah lain seperti rogol.

Silapnya Mohd Imran hanya melihat isu rogol dari sudut gender – perbezaan lelaki dan wanita semata-mata – dengan mengenepikan perspektif dari sudut jenayah/ kriminologi.

Dari awal Mohd Imran sepatutnya menjelaskan bahawa rogol dan punca rogol adalah dua perkara berbeza.

Punca-punca terjadi kes rogol berbeza mengikut sesuatu kes dan tidak ada satu sebab yang dipersetujui bahawa hanya satu sebab itu menjadi punca berlakunya jenayah tersebut.

Punca-punca terjadi rogol dalam bidang kriminologi boleh menjadi pelbagai dan kebanyakannya jatuh dalam kawasan kelabu (grey area).

Pendek kata dari sudut kriminologi pemakaian seksi boleh sahaja menjadi punca yang mendorong kepada perlakuan rogol dan boleh jadi juga tidak.

Misalnya seseorang perogol mungkin teransang melihat perempuan yang memakai pakaian seksi di tempat lain tetapi yang menjadi mangsanya adalah wanita lain.

Ini bergantung kepada sesuatu kes dan mentaliti pelaku ketika melakukan jenayah tersebut dan apakah mens rea (niat) yang timbul daripadanya, yang kemudian disusuli dengan perbuatan (actus reus).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh pula mempersoalkan bagaimana bayi atau kanak-kanak boleh menggoda lelaki sedangkan mereka juga menjadi mangsa rogol

Bagaimanapun pelaku jenayah rogol dewasa tidak semestinya pada masa yang sama merupakan perogol bayi atau kanak-kanak. Sebaliknya mereka yang tertarik kepada kanak-kanak atau pedofilia pula tidak semestinya cenderung menyukai wanita dewasa.

Ada juga perogol bernafsu terhadap wanita bertudung atau memakai niqab seperti disebut ketua wanita PKR, Haniza Talha bahawa wanita “memakai sopan” juga menjadi mangsa.

Fetish atau kegilaan seks terhadap wanita bertudung bukanlah fenomena yang baru malah sehingga ia dikategorikan sebagai salah satu genre dalam pornografi.

Di Internet, bilangan gambar dan video lucah membabitkan wanita bertudung, termasuk di Malaysia sudah mencecah ribuan banyaknya.

Harus diingat pornografi juga boleh mendorong berlakunya jenayah rogol, meskipun tidak semestinya mereka yang gemar menonton filem lucah melakukan jenayah itu.

Malangnya di Malaysia golongan feminis atau pemimpin wanita nampaknya tidak begitu ghairah atau ke hadapan dalam membicarakan isu-isu pornografi membabitkan wanita.

Takrifan gangguan seksual

Oleh itu pendapat Mohd Imran bahawa pemakaian boleh menjadi punca berlakunya rogol tidak sepenuhnya salah dari sudut kriminologi.

Pendapat beliau yang mengatakan pemakaian wanita (dibaca: seksi) boleh menjadi satu bentuk gangguan seksual terhadap lelaki juga masih boleh diperdebatkan.

Jika seseorang lelaki merasa terganggu dengan pemakaian seksi, mahupun pertuturan atau tingkah laku wanita mengapa pula ia tidak boleh dianggap satu bentuk gangguan seksual? Barangkali inilah yang cuba disampaikan Mohd Imran.

Ironinya wanita yang digolongkan sebagai seksi juga lebih terdedah menjadi mangsa gangguan seksual berbanding wanita yang menampakkan ciri-ciri tradisi (Fiske dan Glick, 1995).

Menurut takrifan gangguan seksual yang disiarkan melalui laman web Womens Centre For Change (WCCPenang.Com) berbunyi:

“Gangguan seksual adalah apa-apa kelakuan yang tidak diingini yang bersifat seksual yang mempunyai kesan gangguan verbal, tanpa lisan, psikologi atau fizikal. Wanita diganggu secara seksual di jalanan, dalam pengangkutan awam, dan sangat kerap di tempat kerja. Gangguan seksual mewujudkan suasana pembelajaran, kerja atau hidup yang tegang, menakutkan atau bermusuhan. “

Pada masa sama ia juga menjelaskan bahawa:

“Kedua-dua lelaki dan wanita adalah mangsa dan pelaku. Gangguan seksual boleh berlaku di antara anggota jantina bertentangan atau jantina yang sama. Ia boleh berlaku di antara orang yang mempunyai status atau status yang sama.”

Dalam takrifan di laman web berkenaan menerangkan gangguan seksual adalah apa-apa kelakuan yang tidak diingini oleh mangsa yang bersifat seksual.

Maka tiada salahnya jika Mohd Imran setakat melontar pendapat mengatakan pemakaian juga boleh menjadi satu bentuk gangguan seksual dan lelaki harus dilindungi daripadanya.

Kalau dahulu rogol dianggap hanya melibatkan pesalah lelaki tetapi kini seperti di Amerika tafsiran itu sudah mulai berubah.

Sebagai contoh lain jika seseorang lelaki berhadapan wanita berpakaian seksi sehingga menampakkan pangkal buah dadanya, dan kemudian dia merasa terganggu, maka kenapa ia tidak boleh dianggap sebagai gangguan seksual?

Sudah tentu tafsiran tersebut boleh berubah-ubah mengikut situasi dan keadaan.

Cuma yang kedengaran aneh apabila Imran mengatakan lelaki yang menjadi mangsa gangguan seksual harus dilindungi undang-undang bagi mengelakkan mereka “tergoda” dan seterusnya melakukan jenayah seperti rogol.

Jika mengikut logik ini, lelaki yang ‘terganggu’ akibat wanita berpakaian seksi, pada masa sama juga berpotensi menjadi pemangsa atau perogol. Idea tersebut sudah tentu bercanggah sama sekali.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda