Padah menawarkan khidmat seks kepada anggota polis, seorang lelaki dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, hari ini.
Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap A. Sri Vinod Lal, 31, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 20 Ogos lalu.
Sri Vinod Lal didakwa menawarkan khidmat seks bagi maksud persundalan kepada seorang anggota polis dengan bayaran RM50 untuk sekali perkhidmatan di hadapan sebuah hotel, di Jalan Raja Laut, di Kuala Lumpur pada 8.15 malam 20 Ogos lalu.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan manakala Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh.
Di mahkamah sama, seorang wanita warga Indonesia, Linda, 36, didenda RM2,000 atau penjara dua bulan selepas mengaku bersalah menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang anggota polis lain dengan bayaran RM230 di sebuah hotel, di Jalan Yew, Pudu pada 1.50 petang, 14 Ogos 2019.
Tertuduh yang diwakili peguam Nik Nur Athira Mat Zaidan, merayu hukuman ringan kerana dia merupakan ibu tunggal dan perlu menanggung tiga orang anak serta kedua ibu bapanya yang berada di Indonesia.
Pertuduhan bagi kedua-dua tertuduh mengikut Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
– Bernama
Tinggalkan komen anda