Latheefa nafi perubahan dalam SPRM susulan kesihatan Azam Baki


shadow

Ketua Pesuruhjaya Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya menafikan akan berlaku perubahan dalam agensi itu susulan cuti sakit Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki.

“Laporan ini adalah tidak berasas langsung dan tidak patut.

“Azam telah pun keluar dari hospital dan malah telah datang ke pejabat hari ini. Beliau dijangka akan menyambung balik tugas rasmi pada minggu depan iaitu 22 Ogos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Malaysiakini memetik beberapa sumber SPRM yang berkata seorang pemangku timbalan ketua pesuruhjaya mungkin dilantik untuk menyelia perkara-perkara berkaitan operasi.

Latheefa tidak memberi maklum balas kepada permintaan untuk mengulas perkara itu sebelum laporan tersebut disiarkan.

Malaysiakini menghantar pesanan Whatsapp berkenaan perkara ini pada 3 Ogos dan 7 Ogos, yang dibacanya tetapi tiada maklum balas. Beberapa panggilan telefon pula tidak terjawab.

Menurut sumber, Azam, 56, dimasukkan ke Hospital Putrajaya bulan lalu.

Beberapa hari selepas dibenarkan pulang, pegawai kanan itu dilaporkan pengsan dan dikejarkan ke unit rawatan rapi.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda