Koleksi Mowgli Malaysia ‘terbang’ ke NZ


shadow

KOLEKSI gambar Muhammad Syukur Khamis atau dikenali ‘Mowgli Malaysia’ bersama kerbau peliharaan keluarganya bakal dipamerkan di Wellington, New Zealand, bulan hadapan.

Lakaran sejarah baharu buat jurugambar tempatan, Abdullah Deen Mohd Zain, 44, yang merakamkan aksi Muhammad Syukur, 14, itu hingga memenangi anugerah peringkat antarabangsa.

Menurut Abdullah Deen atau dikenali Dallah Deen, pameran Malaysia Mowgli A Photographic Exhibition akan berlangsung 15 hingga 22 September mengetengahkan 100 koleksi Muhammad Syukur bersama ternakan dan Jalur Gemilang.

“Ia koleksi gambar sepanjang lima tahun yang saya rakam bermula 2015, akan ditayangkan secara percuma untuk mempromosikan keindahan alam semula jadi dan keunikan Malaysia.

“Saya sudah menjelajah ke seluruh negeri termasuk Kelantan, Sabah, Perlis, Pahang dan Pulau Pinang untuk pameran gambar Muhammad Syukur dan ini satu penghormatan apabila berpeluang mempamerkan koleksi sama ke luar negara.

“Ia gambar terbaik yang pernah dihasilkan dan saya berharap koleksi ini mendapat reaksi positif masyarakat di sana terutama dalam kalangan penggemar fotografi kerana pameran ini juga bersempena Hari Malaysia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Dallah Deen berkata, dia teruja dan bertuah menerima tawaran untuk mempamerkan koleksi itu daripada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand dan Ekta New Zealand Inc.

Sementara itu, Muhammad Syukur turut berkongsi kegembiraan sama apabila gambarnya bersama ternakan kesayangan bakal ‘terbang’ ke New Zealand.

“Jika diikutkan perancangan awal, saya akan turut serta ke pameran berkenaan namun terpaksa membatalkannya kerana faktor yang tidak dapat dielakkan.

“Walaupun tidak dapat bersama, saya tetap gembira kerana koleksi gambar itu diiktiraf dan dipamerkan hingga ke luar negara sempena Hari Malaysia,” katanya.

Tinggalkan komen anda