K’jaan N Sembilan sedia bantu keluarga Nora Anne – Exco


shadow

Kerajaan negeri bersedia memberi segala bentuk bantuan kepada keluarga Nora Anne Quoirin, 15, remaja Ireland yang hilang di resort The Dusun, Nilai sejak Ahad lepas.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri Teo Kok Seong yang menzahirkan rasa simpati kerajaan negeri terhadap keluarga remaja itu berkata bantuan berkenaan akan diberi mengikut kemampuan kerajaan.

“Kerajaan negeri bersimpati kepada keluarga mangsa dengan apa yang berlaku dan bersedia menghulurkan sebarang bantuan kepada mereka mengikut kemampuan kami. Keluarga mangsa boleh menghubungi kerajaan negeri untuk meminta apa bentuk bantuan yang mereka perlu dan kami akan cuba memenuhinya.

“Pada masa sama, kerajaan negeri amat mengalu-alukan usaha pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus dalam operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan berterusan sejak hari pertama remaja itu dilapor hilang dan kami harap dia dijumpai dengan selamat,” katanya kepada pemberita di Seremban, hari ini.

Teo berkata kes yang berlaku di resort itu adalah kes terpencil.

Ditanya pemberita status resort itu yang kini dalam proses pemutihan ekoran beroperasi tanpa lesen yang sah tetapi dibenarkan beroperasi, Teo berkata kerajaan negeri memberi tempoh sehingga Oktober kepada semua pengusaha resort tanpa lesen di kawasan itu untuk mengemukakan permohonan kelulusan lesen beroperasi kepada Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Perbandaran Nilai (MPN).

“Saya difahamkan semua pengusaha resort di Pantai Hills Resort (PHR) itu adalah pengusaha yang sudah lama beroperasi di situ dan mereka sangat berpengalaman. Kebanyakan pelancong asing memang suka tinggal di situ kerana pemandangannya yang indah, suasana alam sekitar yang nyaman dan selamat.

“Kita perlu mengambil iktibar daripada kejadian ini. Ini adalah satu pengajaran kepada pemilik resort supaya mereka meningkatkan aspek keselamatan dengan menambah CCTV (kamera litar tertutup)… ini adalah tanggungjawab pemilik resort,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, hanya 30 peratus pengusaha resort di PHR termasuk The Dusun dalam proses mengemukakan permohonan mereka.

Pada 14 Jun, media melaporkan 11 pemilik resort di PHR diberi tempoh empat bulan untuk mengemukakan permohonan kelulusan lesen beroperasi kepada MPN.

PHR yang memiliki kawasan seluas 36.98 hektar, mempunyai 44 orang pemilik tanah.

– Bernama

Tinggalkan komen anda